SHAH ALAM - Pemimpin pembangkang diingatkan agar tidak bermain emosi dan mempolitikkan isu Ambalat sehingga boleh menjejaskan hasil dan rancangan pembangunan negara.
Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, beliau menyokong usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto yang secara prinsipnya bersetuju untuk mempertimbangkan pembangunan bersama agar potensi minyak di kawasan tersebut dapat dimanfaatkan.
Malah katanya, ia adalah salah satu perkara yang dibawanya semasa dalam Kabinet dahulu kerana kaedah tersebut terbukti berkesan dan telah dilaksanakan di luar pesisir Kelantan dan Thailand.
Menurut Rafizi, keadaannya sama iaitu kawasan yang ada tuntutan bertindih antara Malaysia dan Thailand tidak dapat dibangunkan selagi tidak ada penyelesaian dan kedua-dua negara tidak berganjak.
“Dalam tahun 1970-an, kerajaan kedua-dua negara bersetuju mewujudkan Pihak Berkuasa Pembangunan Bersama Malaysia-Thailand atau Malaysia-Thailand Joint Development Authority (MTJDA) yang bertindak sebagai pihak berkuasa yang mengendalikan pembangunan bersama di kawasan bertindih itu.
“Wakil sama banyak, suara sama banyak. Dari situlah, kontrak eksplorasi dan pembangunan minyak dapat dijalankan, akhirnya dianugerahkan kepada Petronas dan PTTEP (syarikat minyak Thailand). Hari ini, sekitar 30 peratus dari keperluan gas Semenanjung Malaysia dibekalkan dari kawasan bertindih ini.
“Jika ia tidak dibangunkan secara bersama dan tergendala sehingga kini, 30 peratus keperluan gas Semenanjung perlu diimport dan dibayar pada harga yang tinggi,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.
Sebelum ini, beberapa pemimpin pembangkang termasuk Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu Perdana Menteri memberitahu rakyat mengenai apa-apa persetujuan yang dicapai dengan Indonesia dalam rundingan mengenai isu Ambalat.
Ia susulan Perjanjian Pembangunan Bersama (JDA) antara Malaysia dan Indonesia di Blok Ambalat, iaitu kawasan perairan yang masih dalam pertikaian sempadan maritim membabitkan kedua-dua negara.
Mengulas mengenai situasi Ambalat, Ahli Parlimen Pandan itu menjelaskan, perairan itu terletak di timur Sabah dan utara Kalimantan.
Peta yang dikeluarkan oleh Malaysia dalam 1979 memasukkan kawasan tersebut sebagai pelantar benua Malaysia, menjadi hak milik Malaysia namun Indonesia membantah.
Jelasnya, dalam tahun 2002, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan Pulau Sipadan dan Ligitan adalah milik Malaysia, tetapi tidak jelas mengenai sempadan pelantar benua yang diukur dari pulau-pulau itu.
Maka, kawasan itu terus menjadi pertikaian sempadan antara Malaysia dan Indonesia sehingga kini.
“Malaysia memanggilnya blok ND6 dan ND7. Petronas pernah menganugerahkan kontrak eksplorasi minyak kepada Shell di blok-blok ini. Indonesia memanggilnya Ambalat dan pernah menganugerahkan kontrak eksplorasi minyak kepada ENI dan Unocal.
“Bagaimanapun, disebabkan isu sempadan dan tuntutan bertindih, tidak ada titik penyelesaian menyebabkan potensi minyak dan gas di kawasan perairan ini terbiar. Sedangkan blok-blok ini dijangka ada rizab minyak dan gas yang besar, iaitu sehingga 1 billion bbl minyak dan 1.4 tcf gas (tcf = trillion cubic feet).
“Rizab ini, kalau ikut ranking, rendah sedikit dari lapangan minyak Brunei tetapi lebih besar dari sebahagian lapangan sedia ada di Semenanjung, Sabah dan Sarawak,” jelasnya.
Tambah Rafizi, apa yang berlaku kini ialah kerajaan Persekutuan perlu berbincang secara serentak dengan Kerajaan Indonesia dan kerajaan Sabah supaya kepentingan Sabah dapat dipelihara dan sebahagian keuntungan pergi kepada rakyat Sabah secara adil.
Bagaimanapun, beliau bimbang jika isu itu terus dipolitikkan, rancangan pembangunan bersama ini akan tergendala manakala negara dan rakyat akan terus kehilangan berbilion ringgit hasil setiap tahun, dalam keadaan hasil minyak Malaysia semakin berkurang.
“Petronas memerlukan pembangunan bersama ini. Insya-ALLAH, rakyat juga akan mendapat manfaat.
"Kita boleh membangkang sesuatu, tetapi biarlah selepas kita meneliti keseluruhan merit kes itu. Jangan pakai hentam saja,” tegasnya.