SHAH ALAM – Pemuda Pas Selangor menegaskan bahawa teguran oleh pendakwah terhadap pemerintah dalam hal-hal hukum hakam agama tidak boleh dianggap sebagai satu bentuk kebencian atau jenayah.
Ketuanya, Mohamed Sukri Omar berkata, pihaknya memandang serius kenyataan rasmi Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Negeri Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah pada Rabu yang memberi peringatan kepada pemegang tauliah agama di negeri ini.
Dakwanya, kenyataan itu bukan sahaja membawa mesej yang mengelirukan, malah boleh mencetuskan persepsi bahawa tauliah agama sedang dijadikan alat tekanan terhadap pendakwah yang menyampaikan kebenaran berdasarkan nas dan panduan syarak.
“Teguran terhadap pemerintah dalam perkara hukum hakam agama bukanlah satu jenayah, apatah lagi satu bentuk kebencian. Ia adalah tanggungjawab agama.
“Islam meletakkan tanggungjawab amar makruf nahi mungkar ke atas bahu setiap pendakwah, termasuk dalam menegur pemerintah apabila berlaku pelanggaran terhadap hukum syarak, pengabaian terhadap fatwa atau ketidaktegasan dalam memelihara institusi Islam,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Mengulas lanjut, Mohamed Sukri berkata, menjadikan teguran seperti itu sebagai menyemai kebencian merupakan satu tuduhan berat, tidak berasas dan boleh mematikan suara dakwah.
Menurutnya, para ulama terdahulu tidak pernah berdiam diri apabila syariat ALLAH dipinggirkan dan persoalan timbul sama ada pendakwah masa kini tidak lagi boleh menyuarakan pandangan agama apabila ia menyentuh dasar kerajaan.
“Pemegang tauliah mengajar agama bukanlah penghasut atau pencetus kebencian. Mereka adalah pewaris tugas para anbiya’ yang menyampaikan ilmu dan membimbing masyarakat dengan hikmah serta kesabaran,” ujarnya.
Beliau berkata, mengaitkan pengguguran tauliah dengan dakwaan menyemai kebencian terhadap pihak pemerintah memberi gambaran seolah-olah tauliah adalah hak eksklusif yang boleh ditarik sesuka hati jika seseorang pendakwah tidak selari dengan selera politik pihak berkuasa.
Tegasnya, itu merupakan satu bentuk salah guna kuasa yang amat dibimbangi dalam sistem pentadbiran Islam.
“Kami menyeru agar para pemegang amanah dalam pentadbiran agama negeri bersikap adil dan terbuka terhadap kepelbagaian pandangan dalam kalangan pendakwah, selagi mana mereka berpegang kepada manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah dan menyampaikan dengan adab serta keilmuan.
“Teguran terhadap dasar kerajaan tidak boleh disamakan dengan hasutan kebencian. Ia adalah sebahagian daripada tugas ulama,” katanya lagi.
Beliau turut memetik sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Agama itu adalah nasihat.” Kami bertanya: “Bagi siapa, wahai Rasulullah?” Baginda bersabda: “Bagi Allah, kitab-Nya, Rasul-Nya, para pemimpin kaum Muslimin, dan umat Islam keseluruhannya.” – Hadis Riwayat Muslim
Menurut Mohamed Sukri, pihaknya menghormati institusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sebagai pelaksana dasar keagamaan di bawah naungan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
“Justeru, kami berharap sebarang keputusan mengenai tauliah dibuat atas asas ilmu, maslahat dan syarak, bukan didorong tekanan atau naratif politik yang sempit,” ujarnya.
Tambah beliau, Pemuda Pas Selangor akan terus mempertahankan para asatizah dan pendakwah yang ikhlas menyampaikan ilmu dengan tanggungjawab serta tidak akan berdiam diri jika wujud tekanan terhadap golongan itu hanya kerana mereka berani menegur dengan ilmu dan akhlak.
“Saya menyeru semua pihak agar berhenti daripada mengaitkan teguran terhadap pemerintah dalam isu agama sebagai tindakan menyemai kebencian. Dakwah perlu bebas daripada ugutan dan para pendakwah perlu dilindungi daripada manipulasi politik.
“Kami akan terus memperjuangkan ruang dakwah yang adil, terbuka dan berpaksikan ilmu serta kebenaran syarak. Jangan padamkan suara agama hanya kerana ia tidak selari dengan kemahuan kuasa,” tegasnya.
Terdahulu, kerajaan negeri Selangor memberi amaran bahawa tauliah mengajar agama boleh digantung atau ditarik balik jika didapati disalah guna untuk menyampaikan mesej berunsur politik, kebencian atau yang mencetuskan perpecahan dalam kalangan masyarakat.
Dr Mohammad Fahmi berkata, kerajaan negeri masih menerima aduan berhubung penyalahgunaan tauliah MAIS, termasuk oleh pendakwah yang masih memegang jawatan politik, tidak berakhlak mulia serta menyampaikan ucapan yang menimbulkan kebencian terhadap kerajaan Persekutuan atau negeri.
Tegasnya, peringatan itu selaras dengan Peraturan 14(1), Peraturan-peraturan Tauliah Bagi Pengajaran Agama Islam (Negeri Selangor) 2024 yang menetapkan pemegang tauliah mestilah tidak memegang apa-apa jawatan dalam mana-mana parti politik, selain berpegang kepada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan bermastautin di Selangor.
Tambahnya lagi, peraturan itu penting bagi memastikan masjid tidak menjadi medan propaganda politik atau mencetuskan perpecahan, sebagaimana titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, semasa Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor 2023.