SHAH ALAM – Tindakan pihak berkuasa memanggil, merakam keterangan dan merampas telefon bimbit Ketua Pemuda MCA Pahang, Wong Siew Mun disifatkan sebagai satu lagi bentuk intimidasi politik yang tidak wajar serta mencemarkan prinsip kebebasan bersuara yang dijamin oleh Perlembagaan.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, perkara itu tidak lagi mengejutkan memandangkan ia seolah-olah menjadi rutin dalam pentadbiran Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN).
“Wong Siew Mun dipanggil hanya kerana beliau menyuarakan kebimbangan awam berhubung isu keselamatan data peribadi rakyat. Siasatan ke atas beliau di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 adalah keterlaluan.
“Baru beberapa hari lalu, Perdana Menteri dalam ucapannya di HAWANA (Sambutan Hari Wartawan Nasional 2025) menyebut tentang kepentingan kebebasan media dalam sistem demokrasi.
“Namun, kes Wong Siew Mun sekali lagi menunjukkan bahawa ucapan manis itu hanya retorik dan fantasi,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong sebelum ini mengesahkan bahawa Siew Mun telah selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada petang Rabu.
Menurut Ka Siong, Siew Mun dipanggil oleh polis bagi memberi keterangan berkaitan video yang memetik laporan South China Morning Post, selain mempersoalkan niat di sebalik arahan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kepada syarikat telekomunikasi untuk menyerahkan data pengguna.
Dalam pada itu, Wan Saiful turut mengulangi gesaannya bahawa tindakan SKMM mengarahkan semua syarikat telekomunikasi menyerahkan data pengguna telefon di Malaysia perlu dihentikan sehingga satu mekanisme pemantauan yang lengkap diwujudkan oleh Parlimen.