PRN Sabah: Kerjasama GRS-PH Sabah hampir pasti

KOTA KINABALU – Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah membayangkan bahawa kerjasama antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) Sabah hampir pasti menjadi kenyataan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).

Bagaimanapun, Masiung yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut berkata, kerjasama kedua-dua gabungan yang sedia terjalin itu hanya akan diputuskan dalam mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (AMT) GRS yang akan diadakan tidak lama lagi.

“Keyakinan itu jelas memandangkan Ketua Menteri yang juga Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor dilihat telah beberapa kali menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan PH.

“Dalam masa yang sama, PH Sabah juga berpendirian menyokong kepimpinan dan pentadbiran Hajiji,” katanya selepas merasmikan Persidangan Tahunan Gagasan Rakyat Bahagian Inanam di Dewan Masyarakat Manggatal, pada Rabu.

Katanya lagi, jika kerjasama itu dimuktamadkan, GRS dan PH bakal membentuk jentera bersama di setiap daerah bagi memastikan calon dalam muafakat GRS memperoleh kemenangan dalam PRN17.

Beliau turut menegaskan bahawa GRS berkongsi pandangan yang sama dengan Barisan Nasional (BN) untuk tidak menjalinkan kerjasama dalam PRN17.

“Hubungan kerjasama GRS dan PH dalam Kabinet Sabah pada masa ini cukup baik dan ia menjadi perintis kepada kestabilan politik di Sabah.

“Gagasan Rakyat pimpinan Hajiji bersedia menjadi perisai di barisan hadapan untuk memastikan calon yang menjadi muafakat GRS menang dalam PRN17 nanti,” katanya.