Pemuda Pas Rompin tolak naratif SST langkah fiskal progresif

ROMPIN – Pemuda Pas Rompin menolak dakwaan bahawa pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ketika ini merupakan langkah pemulihan fiskal yang progresif.

Setiausahanya, Khairul Izwan Ghazali berkata, sebaliknya rakyat marhaen semakin terbeban dengan kenaikan kos sara hidup yang gagal dibendung.

Menurutnya, Angkatan Muda Keadilan (AMK) Indera Mahkota juga dilihat gagal menyelami hakikat sebenar kehidupan rakyat di peringkat akar umbi.

“Menggunakan alasan strategi jangka panjang tidak boleh dijadikan tiket untuk membiarkan rakyat menanggung beban hari ini.

“Sementara retorik kononnya SST dapat mengatasi ketirisan dan rasuah, hakikatnya isu-isu kebocoran hasil dan salah guna kuasa tetap berlaku tanpa penyelesaian,” katanya pada Khamis.

Beliau menegaskan bahawa sebarang usaha ke arah reformasi cukai tidak seharusnya menjadikan rakyat sebagai mangsa.

“Apa yang lebih utama ialah ketelusan pengurusan dana negara dan keutamaan diberikan kepada kesejahteraan rakyat, bukan sekadar angka dan teori fiskal,” katanya.

Terdahulu, Ketua AMK Indera Mahkota, Ts Ahmad Saifullah Razali dilaporkan berkata bahawa langkah reformasi cukai melalui SST adalah sebahagian daripada pelan pemulihan fiskal yang mampan dan progresif.

“Sistem subsidi bersasar, kawalan harga yang teratur dan perluasan kutipan hasil negara adalah strategi jangka panjang untuk memastikan Malaysia bebas daripada ketirisan, rasuah serta ketergantungan luar,” katanya.