PUTRAJAYA – Satu gerakan yang dinamakan Sekretariat Orang Melayu dibentuk bagi menyatukan semua pihak yang memperjuangkan nasib orang Melayu di bawah satu payung besar.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, inisiatif tersebut merupakan satu langkah untuk mengembalikan kuasa politik dan cabaran yang dihadapi orang Melayu.
“Kita bersetuju untuk adakan satu gerakan yang dipanggil sebagai payung besar atau Sekretariat Orang Melayu.
"Ia bukan parti politik, tapi satu usaha untuk satukan semua gerakan yang memperjuangkan orang Melayu dalam satu kumpulan sahaja,” katanya dalam sidang akhbar di sini pada Rabu.
Menurutnya, kewujudan terlalu banyak kumpulan yang kononnya mahu menyatukan orang Melayu sebenarnya membawa kepada perpecahan dan menggagalkan matlamat perjuangan.
"Kalau ramai buat kumpulan masing-masing, ia tak jadi satu, (akan) jadi tiga, empat. Ini merugikan orang Melayu. Kita tahu, kalau berpecah, kita akan gagal. Kita hanya boleh menang jika bersatu dalam satu gerakan,” jelas beliau.
Tambahnya, sekretariat itu bersifat terbuka dan merentasi sempadan politik, di mana mana-mana individu Melayu termasuk ahli parti lain boleh menyertainya asalkan bersetuju dengan matlamat untuk memperjuangkan kedudukan orang Melayu.
“Saya tidak ajak UMNO tetapi ajak orang Melayu. Kalau mereka bersetuju dengan usaha ini, kita terima. Ini bukan soal parti, tapi soal bangsa Melayu yang kini sedang menghadapi pelbagai masalah,” katanya.
Terdahulu, Dr Mahathir mengadakan perbincangan berkenaan penubuhan secretariat itu bersama-sama beberapa pemimpin antaranya Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin; Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Dalam pada itu, Dr Mahathir turut membidas kerajaan yang didakwanya menyekat kebebasan untuk membincangkan isu-isu berkaitan Melayu, termasuk bahasa kebangsaan, ekonomi dan pemilikan aset strategik negara.
“Sekarang ini kita dapati dasar-dasar perlembagaan sudah diketepikan. Bahasa Melayu bukan lagi bahasa kebangsaan yang sebenar, kedudukan orang Melayu tidak lagi dilindungi seperti dahulu. Bahkan kita tidak dibenarkan bercakap soal Melayu, agama dan raja,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Mahathir turut mengumumkan Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin akan mengetuai usaha awal menggerakkan sekretariat tersebut bersama yang lain, dengan objektif mewujudkan satu barisan penyatuan Melayu yang lebih tersusun.