Penyasaran subsidi petrol perlu penilaian menyeluruh - Ahli Parlimen Bachok

SHAH ALAM - Penyasaran subsidi petrol perlu dinilai secara menyeluruh dari sudut impak ekonomi, kecekapan pelaksanaan, ketelusan dasar serta kesan langsung kepada kos sara hidup rakyat.

Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman berkata, tindakan itu penting supaya rakyat boleh menyusun belanjawan peribadi, keluarga dan perniagaan, seterusnya menyerap kesan yang terhasil daripada dasar subsidi berkenaan.

"Sekiranya langkah penyasaran tetap diteruskan dalam kesamaran, dikhuatiri natijahnya tersasar daripada sasaran yang diharapkan.

"Penjelasan kerajaan berhubung mekanisma dan impak pelaksanaan subsidi petrol bersasar penting bagi memastikan cabaran ekonomi, inflasi dan kos sara hidup dapat ditangani dengan berkesan," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali dilapor memaklumkan kerajaan dijangka melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan tahun ini dengan satu mekanisme terbaik bakal dikenal pasti.

Beliau berkata, kerajaan kini berada dalam fasa akhir merangka sistem penyasaran yang adil dan berkesan bagi memastikan pelaksanaannya mencapai objektif ditetapkan.

Susulan itu Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) menggesa kerajaan menangguhkan pelaksanaan subsidi bersasar RON95 sehingga dua isu kritikal diselesaikan iaitu penetapan margin kaedah harga automatik (APM) dan kadar diskaun pedagang (MDR) yang ditanggung pihak pengusaha.

Dalam pada itu Syahir berpendapat, hasrat kerajaan untuk melaksanakan penyasaran tersebut masih dibayangi kesamaran khususnya dalam aspek penentuan kelayakan dan ukuran kategori pendapatan yang belum diputuskan Kabinet.

Selain itu menurutnya, keupayaan sistem pengesahan melalui MyKad yang melibatkan aspek keselamatan, verifikasi dan infrastruktur digital khususnya luar bandar juga masih belum dijelaskan.

"Perlu difahami, kesan sesuatu kenaikan kos adalah bersifat berantai dan berangkai.

"Walaupun dikatakan 85 peratus rakyat tidak akan terjejas dengan pengurangan subsidi, namun kesan berantai daripada kenaikan kos pengeluaran akan dipindahkan kepada pengguna dalam bentuk kenaikan harga barang, makanan dan perkhidmatan.

"Ini belum mengambil kira impak tarif baharu Amerika Syarikat yang boleh menjejaskan ekonomi tempatan, walaupun ramai Ahli Parlimen meminta agar penyasaran subsidi petrol ditangguhkan dalam sidang khas Dewan Rakyat tempoh hari," ujarnya.