KUALA LUMPUR - Politik bukanlah akidah, namun tetap penting sebagai wasilah untuk memperjuangkan Islam dan melaksanakan syariat secara berkesan dalam kehidupan bermasyarakat.
Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Muhammad Faiz Fadzil berkata, kekeliruan yang timbul berhubung dua ungkapan popular dalam wacana politik Islam iaitu ‘politik bukan akidah’ dan ‘akidah dan perjuangan’ perlu diperjelaskan agar tidak dimanipulasi oleh pihak berkepentingan.
Beliau menegaskan bahawa tindakan melaga-lagakan kedua-dua ungkapan tersebut, khususnya atas nama agama, merupakan satu bentuk adu domba yang menyalahi prinsip maqasid syariah yang menuntut kepada keamanan masyarakat.
“Ada yang keliru antara ungkapan ‘politik bukan akidah’ dan ‘akidah dan perjuangan’. Lebih membimbangkan, ada pula yang mengambil kesempatan untuk melaga-lagakan kedua-dua ungkapan ini, sedangkan adu domba adalah sifat munafik.
“Mengelirukan orang awam atas nama agama merupakan virus yang berbahaya kepada masyarakat, sedangkan maqasid syariah bertujuan menjaga keamanan dan kestabilan umat,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Tegas Faiz, ungkapan pertama ‘politik bukan akidah’ membawa maksud bahawa politik bukanlah satu agama atau kepercayaan. Akidah ialah kepercayaan yang tetap dan tidak boleh dipertikai.
Menurut beliau, politik bersifat relatif dan berubah-ubah, manakala akidah bersifat mutlak dan kekal; politik adalah ciptaan manusia, sedangkan akidah adalah ketetapan Allah; politik boleh dipandu oleh nafsu, manakala akidah dipandu oleh al-Quran.
“Sebab itu, ada orang alim yang bila berpolitik, hukum hudud dijadikan bahan tunggangan sedangkan dalam akidah, hukum hudud itu wajib.
“Seorang alim bila berpolitik, kumpulan Cina pada satu masa dikatakan haram, tetapi masa lain pula menjadi halal. Malah ada yang sanggup mengkhianati kerajaan, sedangkan akidah melarang perbuatan khianat,” ujarnya lagi.
Beliau menambah, ungkapan kedua ‘akidah dan perjuangan’ pula membawa maksud bahawa politik perlu dijadikan alat untuk mengangkat martabat akidah.
Jelasnya, politik ialah wasilah untuk menegakkan akidah dan menjadi jalan kepada pelaksanaan syariat Islam, justeru ia terbuka kepada sesiapa sahaja yang cintakan Islam.
“Maka, politik bukanlah akidah, namun itu tidak bermaksud politik tidak penting dalam Islam. Politik bukan sempadan antara iman dan kufur.
“Berpolitik tidak menghalalkan perbuatan mengkafirkan sesama Muslim hanya kerana berbeza pandangan, pendekatan atau wadah perjuangan,” tegasnya.
Faiz menjelaskan bahawa kedua-dua ungkapan tersebut berbeza dari segi makna, tetapi saling melengkapi dalam menerangkan hakikat politik menurut perspektif Islam.
“Memperjuangkan Islam adalah amanah semua insan, bukan hanya tanggungjawab satu golongan sahaja, walaupun mereka dikelilingi orang alim. Alim bukanlah asas utama, kerana asas kepimpinan politik adalah kompetensi dan amanah, sebagaimana disebut dalam Surah al-Qasas ayat 26,” ujarnya.
Kenyataan ini, menurut beliau, bertujuan menjernihkan pandangan masyarakat terhadap hubungan antara akidah dan perjuangan politik, serta menyeru umat Islam agar tidak terperangkap dalam permainan kuasa yang boleh merosakkan perpaduan dan nilai-nilai agama.