Rafizi beri amaran kesan tindakan Tengku Zafrul lompat parti

AMPANG – Tindakan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz meninggalkan UMNO untuk menyertai PKR boleh mencetuskan gelombang politik yang sukar dikawal oleh Kerajaan Perpaduan.

Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, Kerajaan Perpaduan dibentuk hasil perjanjian rasmi, namun ia tidak memperincikan sama ada parti-parti boleh menerima keahlian antara satu sama lain.

“Semasa Kerajaan Perpaduan dibentuk, kita sebenarnya dikemudi oleh satu perjanjian Kerajaan Perpaduan. Saya yang draf dan saya ingat tidak ada dalam perjanjian itu nyatakan sama ada ia dibenarkan atau tidak.

“Ia satu perkara yang samar-samar sebenarnya. Tetapi saya percaya kebimbangan UMNO berpunca daripada usaha untuk kekalkan keharmonian dalam kalangan parti dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya memetik laporan The Star pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutupan Karnival Belia Madani 2.0 Parlimen Pandan, di Ampang.

Sebelum ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyatakan bahawa UMNO memandang serius niat peletakan jawatan yang dimaklumkan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu menerusi hantaran di Facebook, Jumaat lalu.

Jelasnya, amat tidak wajar untuk mana-mana parti dalam Kerajaan Perpaduan menerima keahlian daripada ahli parti-parti lain sewenang-wenangnya.

Rafizi menambah, fenomena lompat parti adalah perkara yang sepatutnya dielakkan kerana ia boleh membuka ruang kepada kesan tidak dijangka, sekali gus mencetuskan duluan yang sukar dikawal.

Ketika diminta mengulas sama ada wujud rancangan jangka panjang untuk Tengku Zafrul selepas penyertaannya ke dalam PKR, Rafizi berkata, perkara itu tiada kaitan dengannya dan perlu dijawab sendiri oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

“Jika tanya tentang perancangan PKR, tanya kepimpinan baharu PKR. Keputusan saya tiada kaitan dengan Tengku Zafrul atau dengan PKR, UMNO atau Kerajaan Perpaduan,” ujarnya.