Rafizi tolak tawaran Nurul Izzah sebagai Timbalan Presiden PKR lantikan

AMPANG - Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli menolak tawaran jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) lantikan yang dicadangkan oleh Nurul Izzah Anwar.

Rafizi mendedahkan beliau menerima tawaran tersebut dalam satu pertemuan bersama Timbalan Presiden PKR itu baru-baru ini.

Bagaimanapun, beliau menegaskan akan terus berpegang kepada keputusannya untuk tidak menerima sebarang tawaran jawatan lantikan dalam PKR.

"Ketika Nurul Izzah bertemu saya tempoh hari, beliau cuba mencadangkan idea melantik saya sebagai timbalan presiden.

"Walaupun ia jawatan timbalan presiden atau presiden dilantik sekali pun saya tidak berminat, apatah lagi apa-apa jawatan," katanya sebagaimana dipetik oleh The Star pada Ahad.

Rafizi menjelaskan bahawa keputusannya bukan soal jawatan, sebaliknya kerana berpegang kepada prinsip perjuangan.

Justeru, beliau akan terus kekal sebagai ahli PKR kerana ia adalah satu tanggungjawab, di samping berkhidmat sebagai Ahli Parlimen dan Ketua Cabang PKR Pandan bagi menunaikan mandat yang telah diberikan oleh pengundi.

“Jika orang bertanya kenapa saya masih kekal sebagai ahli Parlimen atau belum meletakkan jawatan, jawapannya ialah kerana yang memilih saya adalah rakyat. Saya mesti menghormati keputusan mereka,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menolak sebarang tanggapan untuk menubuhkan parti politik baharu.

"Jika saya ada perancangan, saya tidak akan beritahu anda. Tidak bijak untuk bercakap kepada media mengenai rancangan yang belum pun dilancarkan," katanya.