TAWAU - Dakwaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan bertanding di 52 kerusi manakala Pakatan Harapan (PH) diperuntukkan 21 kerusi hanya sekadar 'cakap-cakap' politik menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, setakat ini dakwaan tersebut belum disahkan oleh mana-mana pihak.
Beliau yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah menegaskan, agihan kerusi antara GRS dan PH Sabah masih belum dimuktamadkan secara rasmi setakat ini.
"Selagi belum ada pengumuman rasmi, kita anggap ia hanya spekulasi.
"Perkara seperti ini memang biasa timbul menjelang PRN, namun jangan biarkan ia menjejaskan fokus terhadap usaha pembangunan dan penyatuan rakyat di Sabah," katanya ketika menyempurnakan Pesta Kebudayaan Hari Bergembira Etnik Tidung Borneo Sabah 2025, pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Nizam berkata, keputusan rasmi pembahagian kerusi DUN dijangka diumumkan dalam masa terdekat dan ia akan ditentukan oleh kepimpinan tertinggi GRS dan PH.
"Saya yakin Ketua Menteri merangkap Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor akan membuat keputusan terbaik demi kepentingan rakyat serta masa depan Sabah," katanya.
Katanya lagi, dalam konteks politik semasa, keutamaan harus diberikan kepada suara dan aspirasi rakyat Sabah, selain memastikan kepimpinan negeri diterajui anak tempatan yang faham budaya dan keperluan masyarakat di negeri ini.
Sementara itu, menyentuh mengenai pesta kebudayaan tersebut, Nizam berkata, kepelbagaian budaya di Sabah adalah aset penting yang perlu dipelihara untuk mengekalkan keharmonian dan perpaduan rakyat.
"Penganjuran pesta seperti ini membuktikan budaya bukan sekadar warisan sejarah, tetapi juga elemen penting dalam membentuk jati diri serta memperkukuh persefahaman antara rakyat pelbagai kaum di Sabah.
"Saya berharap pesta ini dapat diteruskan sebagai acara tahunan dengan sokongan penuh daripada pihak penganjur," katanya.