KUANTAN - Tindakan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang mengumumkan perletakan jawatannya dalam UMNO dan menyatakan hasrat untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah menimbulkan tanda tanya mengenai wujudnya ketidaksefahaman dalaman dalam Kerajaan Perpaduan.
Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Pahang, Ahmad Azlan Abu Bakar, berpendapat bahawa langkah ini bukan sahaja menggemparkan landskap politik nasional tetapi juga memberi kesan langsung terhadap kestabilan politik negeri Pahang, yang kini ditadbir oleh Kerajaan Perpaduan hasil kerjasama antara UMNO dan Pakatan Harapan (PH).
"Tindakan Tengku Zafrul yang secara terbuka menolak UMNO, parti yang telah mengangkat beliau ke dalam pentadbiran kerajaan, membuktikan wujudnya keretakan dalaman yang mendalam antara parti-parti komponen Kerajaan Perpaduan, termasuk di Pahang," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Beliau menambah, khabar angin menyatakan bahawa beberapa pelantikan politik masih belum selesai dan menjadi pertikaian antara UMNO dan Pakatan Harapan.
Menurut Ahmad Azlan, gabungan PH-UMNO yang membentuk kerajaan di Pahang semakin jelas kelihatan sebagai sekadar pakatan longgar, malah kedua-dua parti terbabit dikatakan tidak berpaksikan prinsip perjuangan bersama.
"Tindakan pemimpin seperti Tengku Zafrul membuka ruang kepada spekulasi dan keresahan politik, bukan sahaja dalam kalangan rakyat, malah dalam kalangan jentera kerajaan sendiri," katanya.
Ahmad Azlan menegaskan bahawa rakyat Pahang mahukan kerajaan yang jelas hala tujunya, berpaksikan prinsip Islam, integriti, dan kecekapan. Katanya, episod perebutan jawatan dan politik cantas-mencantas hanya akan menyusahkan rakyat dan memperlahankan pembangunan negeri.
Dewan Pemuda PAS Pahang turut menegaskan bahawa Kerajaan Perpaduan di Pahang berada dalam situasi genting dan rapuh.
"Kami menyeru semua pihak, terutama rakyat, untuk menilai semula keabsahan dan keberkesanan kerajaan negeri yang wujud hari ini. PAS dan Perikatan Nasional kekal sebagai pilihan terbaik untuk mentadbir negeri Pahang dengan lebih stabil, adil dan beramanah," tambahnya.
Terdahulu, laporan akhbar ada menyebut kemungkinan penyertaan Tengku Zafrul ke dalam PKR turut dikaitkan dengan usaha penyusunan semula posisi dalam Kerajaan Perpaduan menjelang tamatnya tempoh pelantikan beliau sebagai Senator Ogos ini.