SHAH ALAM - Tindakan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk berundur daripada UMNO dan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) bercanggah dengan semangat politik stabil yang diperjuangkan Kerajaan Perpaduan.
Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, tindakan itu juga dikhuatiri akan mencetuskan ketidakpercayaan dan ketidakharmonian dalam gabungan Kerajaan Perpaduan.
"Kerajaan Madani ini dibentuk atas dasar kerjasama antara parti-parti yang berbeza ideologi.
"Semua parti dalam Kerajaan Perpaduan harus menumpukan usaha membangun ekonomi dan membaik pulih tadbir urus negara. Politik Malaysia memerlukan kematangan dan komitmen terhadap prinsip parti," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Sebelum ini, Tengku Zafrul dilaporkan telah menghantar surat peletakan jawatan dalam UMNO untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Beliau juga mengesahkan bahawa surat peletakan jawatan sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Ketua UMNO Bahagian Kota Raja dan ahli UMNO telah diserahkan kepada pucuk pimpinan parti.
Selain itu, Tengku Zafrul turut mengesahkan bahawa beliau telah menyatakan hasrat untuk menyertai PKR kepada Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung, Dr Fuziah Salleh.
Tambah Noraini, Wanita UMNO terkilan dengan tindakan Tengku Zafrul yang mengumumkan peletakan jawatan sebagai ahli UMNO untuk menyertai parti lain.
"Kami menyeru semua pemimpin menghormati satu sama lain dan memberi tumpuan kepada pengukuhan ekonomi rakyat," katanya.