SHAH ALAM – Tiga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor yang juga pimpinan kanan Pakatan Harapan negeri menyatakan sokongan padu kepada Datuk Seri Amirudin Shari agar terus kekal menerajui jawatan Menteri Besar Selangor sehingga tamat penggal pentadbiran semasa.
Sokongan itu disuarakan oleh Pengerusi DAP Selangor, Ng Sze Han; Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor, Datuk Ir Izham Hashim; dan Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, Datuk Borhan Aman Shah dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan pada Sabtu.
Menurut kenyataan tersebut, keutuhan kepimpinan Amirudin penting bagi menjamin kestabilan pentadbiran negeri serta memastikan kesinambungan pelbagai dasar besar yang sedang direncana, termasuk Rancangan Selangor Kedua (RS-2), pembangunan Pelabuhan Pulau Carey, agenda Iltizam Selangor Penyayang dan pembinaan semula Kompleks Stadium Shah Alam.
Kesinambungan kepimpinan utama negeri juga akan memberi mesej positif kepada para pelabur dan komuniti perniagaan di Selangor.
Selain itu, ketiga-tiga exco tersebut menegaskan bahawa peranan Amirudin selaku Pengerusi Pakatan Harapan Selangor adalah penting dalam memperkukuh kerjasama bersama Barisan Nasional menjelang Pilihan Raya Umum akan datang.
Pengalaman dan kepimpinan beliau merupakan kunci kepada kesepaduan yang telah dibentuk sehingga membawa kepada kemenangan serta pembentukan Kerajaan Perpaduan di Selangor pada Pilihan Raya Negeri lalu.
Mereka turut menyifatkan khidmat Amirudin amat diperlukan bagi memastikan Selangor kekal sebagai nadi ekonomi negara serta menyumbang secara langsung kepada kejayaan agenda Malaysia Madani yang digagaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Untuk rekod, nama Amirudin kini hangat disebut di peringkat nasional selepas beliau memperoleh undian tertinggi ketika mempertahankan jawatan Naib Presiden PKR dalam pemilihan parti baru-baru ini.
Kejayaan itu menguatkan lagi spekulasi bahawa beliau bakal dipertimbangkan untuk menggalas tanggungjawab sebagai menteri penuh dalam Kabinet Persekutuan.