SEREMBAN - Semua pihak digesa tidak berterusan memberi tekanan kepada Perdana Menteri berhubung peletakan jawatan Menteri Ekonomi dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam baru-baru ini.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, beliau yakin kebijaksanaan Perdana Menteri untuk menyelesaikan isu yang berlaku.
"Saya rasa tak perlulah kita bagi apa-apa tekanan kepada Perdana Menteri dan beliau akan membuat keputusannya mengikut prerogatif dan budi bicaranya.
"Saya yakin Perdana Menteri bijaksana dalam perkara ini dan sudah tentu beliau akan mengambil berbagai pertimbangan dan akan mengisi (jawatan menteri) kalau ada kekosongan," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Minum Petang Bersama Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia 2024 Parlimen Seremban di sini pada Sabtu.
Beliau berkata demikian ketika mengulas sama ada perlu dipercepatkan untuk mengisi kekosongan jawatan dua menteri selepas Datuk Seri Rafizi Ramli selaku Menteri Ekonomi dan Nik NAzmi Ahmad sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam meletakkan jawatan.
Dalam pada itu beliau yang juga Ahli Parlimen Seremban menegaskan DAP tidak akan mencampuri urusan parti rakan komponen dalam Kerajaan Perpaduan termasuk berkaitan peletakan jawatan dua menteri daripada PKR serta tindakan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz meninggalkan UMNO.
Jelasnya, pemimpin parti itu juga diingatkan supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkara yang tiada kaitan dengan DAP.
"Peletakan jawatan ini adalah dari kalangan menteri PKR, susulan daripada keputusan pemilihan parti mereka. Jadi kita tidak masuk campur dalam perkara ini.
"Saya berpendapat itu adalah lebih kepada isu dalaman PKR dan soal Tengku Zafrul meninggalkan UMNO dan mahu menyertai PKR pun bukan urusan parti kita," katanya.
Justeru, beliau mengambil pendekatan enggan mengulas berkenaan isu yang berlaku kerana tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan.
Katanya, sekiranya terdapat kekosongan jawatan menteri daripada parti lain ia adalah urusan mereka.
"Kalau ada isu melibatkan parti-parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan, jangan mengeruhkan keadaan dengan mengeluarkan pandangan yang tak perlu diberikan.
"Jadi saya mengambil sikap begitulah, sebab ia tidak melibatkan urusan DAP," katanya.