SHAH ALAM - UMNO tidak pernah bergantung kepada mana-mana individu kerana parti berkenaan dibina atas kekuatan akar umbi, semangat perjuangan dan keyakinan rakyat, bukan pada nama dan kedudukan, kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Oleh demikian, beliau menghormati keputusan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk berundur daripada UMNO dan memilih PKR.
"Orang datang dan pergi, itu lumrah dalam politik. Yang penting, perjuangan ini mesti diteruskan.
"Saya tidak anggap ini sebagai sesuatu yang luar biasa atau mengejutkan. Ini adalah sebahagian daripada dinamika politik yang makin terbuka dan pelbagai.
"Semua orang berhak memilih jalan mereka – dan kami pilih untuk terus bergerak ke hadapan, fokus membina semula kekuatan parti, dan memperjuangkan nasib rakyat," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Pada Jumaat, Tengku Zafrul mengumumkan peletakan jawatan daripada semua jawatan dalam UMNO dan menyatakan hasrat untuk menyertai PKR.
Baliau mengesahkan surat peletakan jawatan sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Ketua UMNO Bahagian Kota Raja dan ahli UMNO telah dihantar kepada pucuk pimpinan,
Keputusan berkenaan dibuat selepas mengambil masa yang panjang untuk menilai keserasian dan kesesuaian perjuangan politik yang ingin diteruskan.
Mengulas lanjut, Mohamad mengingatkan semua ahli dan penyokong UMNO supaya tidak hilang fokus terhadap hala tuju parti disebabkan tindakan individu meninggalkan UMNO.
"Kepada ahli dan penyokong UMNO, jangan goyah. Jangan biar tindakan satu dua orang mengganggu hala tuju kita. Parti ini bukan dibina sehari dua, dan bukan diangkat hanya kerana seorang tokoh.
"UMNO adalah amanah yang lebih besar daripada itu. Kita ada kerja yang jauh lebih penting iaitu menyatukan, memperbaiki, dan memulihkan kepercayaan rakyat kepada kita," katanya.
Pada masa sama, meskipun tindakan Tengku Zafrul menimbulkan reaksi kurang senang dalam UMNO, Mohamad mengiktiraf peranan yang telah dimainkan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu.
"Sepanjang berada dalam kerajaan atas tiket UMNO, Tengku Zafrul telah memainkan peranan sebagai teknokrat yang menyumbang dalam bidang ekonomi dan kewangan. Kami ucapkan terima kasih atas segala sumbangan beliau.
"Saya doakan yang terbaik buat Tengku Zafrul, dan kita doakan yang lebih baik untuk UMNO," katanya.