Melangkaui 'Cai Dan': Ahli PKR pilih prestasi dan perpaduan

KUALA LUMPUR – Pemilihan pimpinan pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR) tahun ini memberi gambaran jelas bahawa perwakilan telah mengundi berdasarkan merit dan prestasi, bukan semata-mata kesetiaan kepada tokoh-tokoh tertentu dalam parti.

Tidak wujud dominasi satu ‘pasukan’ yang membolot kesemua jawatan utama. Malah, peraturan rasmi melarang kewujudan senarai ‘cai’, meskipun umum mengetahui penyelarasan atau penyokongan kelompok tetap berlaku, seperti kelaziman dalam mana-mana pemilihan politik.

Naib Presiden yang tewas, Datuk Seri Rafizi Ramli, dilihat telah melanggar peraturan tersebut apabila secara terbuka memuat naik senarai calon pilihan di media sosial yang sehaluan dengan kempen beliau. Senarai itu termasuk Datuk Seri Aminuddin Harun, Chang Lih Kang, Nik Nazmi Nik Ahmad, dan Manivanan Gowin.

Manakala lawannya, Nurul Izzah Anwar yang berjaya merampas jawatan Timbalan Presiden disokong oleh tokoh-tokoh seperti Datuk Seri Amirudin Shari dan Datuk Seri R Ramanan.

Namun demikian, pujian harus diberikan kepada para perwakilan dari lebih 200 bahagian yang menunjukkan kematangan politik apabila memilih berdasarkan merit dan rekod kerja, bukan paksi penyokong tertentu semata-mata.

Nurul Izzah jelas menjadi pilihan sejak pengumuman pencalonannya. Persaingan turut tertumpu kepada empat kerusi Naib Presiden yang akhirnya dimenangi oleh Amirudin, Aminuddin, Ramanan dan Chang suatu barisan pelbagai kaum yang mencerminkan komitmen PKR terhadap kepelbagaian.

Bagi 20 jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil memperoleh undi tertinggi, memperlihatkan populariti kukuh beliau dalam kalangan akar umbi. Turut terpilih ialah Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Walaupun berlaku dakwaan ketidaktelusan oleh segelintir pihak pro-Rafizi di Johor Bahru, keputusan menunjukkan ramai penyokong beliau seperti Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung dan Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh tetap menang kerusi MPP.

Kemenangan besar Nurul Izzah dengan majoriti 5,937 undi - beliau memperoleh 9,803 undi berbanding 3,866 yang diraih Rafizi menutup kempen dengan kenyataan damai: “Saudara Rafizi adalah sahabat saya, bukan sahaja sejak dahulu, tetapi kini dan selamanya.”

Hakikatnya, PKR tidak memiliki jumlah Ahli Parlimen tertinggi dalam Pakatan Harapan (PH), namun ia merupakan tulang belakang ideologi reformasi dalam gabungan Kerajaan Madani.

Cabaran parti kini adalah menyatukan saf, menyembuhkan luka pemilihan dan bersedia menghadapi medan sebenar: Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang mendatang.

Seperti yang dinyatakan oleh Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek: “Setia dan percaya kepada kepimpinan baharu adalah kunci untuk membawa PKR ke arah lebih gemilang.”

Sebagai penggerak utama kerajaan gabungan, laluan menuju reformasi sebenar bukan tugas setahun dua. Namun, ianya lebih baik daripada kembali kepada politik perkauman dan retorik sempit. - Bernama

Datuk Seri Wong Chun Wai merupakan Pengerusi Bernama dan wartawan veteran.