Hanya 10 pemimpin 'cai' Rafizi tersenarai kepimpinan baharu PKR Pusat

SHAH ALAM - Hanya sejumlah 10 pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang berada dalam kem bekas Timbalan Presiden, Datuk Seri Rafizi Ramli termasuk dua calon Naib Presiden berjaya menempatkan diri dalam senarai ahli kepimpinan parti di peringkat Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK).

Bekas Setiausaha Koordinator Penerangan PKR, Iswardy Morni berkata, dua calon Naib Presiden berkenaan merupakan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Menteri Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang.

Menurutnya, bagi senarai ahli MPP baharu, tiga pemimpin kem Rafizi yang terselamat daripada tewas pemilihan parti kali ini ialah Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir; Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh dan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung.

"Bagi jawatan pimpinan AMK Pusat, hanya empat pemimpin kem Rafizi yang berjaya tersenarai iaitu Chiew Choon Man (Naib Ketua AMK); bekas Pengarah Komunikasi AMK, Muhammad Haziq Azfar Ishak; Nurhanani Dhamirah Razaleh dan Gavin Way.

"Lebih malang, hanya seorang wakil kem HIRUK (Hidupkan Idealisme Reformasi Dalam Ujian Kuasa) terpilih dalam barisan kepimpinan MPP Wanita PKR iaitu Junaidah Makku @ Junn.

"Keputusan pemilihan PKR penggal kali ini membuktikan bahawa kem Rafizi sememangnya kalah teruk dengan pemimpin-pemimpin utamanya seperti Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail sendiri pun tewas dalam perebutan jawatan Naib Presiden dan Ketua Wanita," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Pada Jumaat, proses pemilihan yang berlangsung bersekali dengan Kongres Nasional PKR 2025 menyaksikan beberapa perubahan dalam barisan kepimpinan utama parti termasuk kekalahan beberapa penyandang jawatan.

Puteri Reformasi, Nurul Izzah Anwar disahkan menewaskan Rafizi dan merampas jawatan sebagai Timbalan Presiden parti.

Nurul Izzah yang juga bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, memperoleh 9,803 undi untuk menewaskan penyandang jawatan itu, Datuk Seri Rafizi Ramli, yang meraih 3,866 undi.

Dalam perkembangan lain, Iswardy mempersoalkan ketelusan sistem pengundian pemilihan PKR kali ini yang berasaskan teknologi 'blockchain'.

Ini kerana pemimpin PKR Sarawak itu hairan dengan kegagalan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) mendedahkan angka sebenar perwakilan yang mengambil bahagian mengundi secara fizikal atau dalam talian.

"Angka undi perwakilan diterima Timbalan Presiden baharu, Nurul Izzah Anwar dan Rafizi jika dicampur masih jauh lebih rendah daripada undi keseluruhan perwakilan yang layak iaitu hampir 30,000 orang.

"Jadi persoalannya adalah sama ada undi perwakilan yang diterima kurang separuh daripada angka sepatutnya disebabkan mereka tidak mengambil bahagian mengundi atau undi mereka sebenarnya tidak dimasukkan dalam sistem pengundian dalam talian? JPP kena beri penjelasan mengenai keadaan ini," katanya.