SHAH ALAM - Bekas calon Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kuala Selangor, Mohd Faizal Abdul Rahman mendakwa wujud elemen ‘tangan ghaib’ dalam proses Pemilihan PKR 2025 selepas sejumlah 8,329 undi perwakilan didakwa hilang tanpa penjelasan kukuh.
Menurutnya, hanya 13,669 undi perwakilan disahkan diterima bagi jawatan Timbalan Presiden, sedangkan jumlah perwakilan yang layak mengundi adalah seramai 22,081 orang.
“Daripada 22,081 perwakilan yang layak mengundi, hanya 13,752 kertas undi dikeluarkan. Maka, terdapat 8,329 undi yang dikhuatiri ‘ghaib’.
“Jumlah undi yang diterima oleh Nurul Izzah Anwar dan Datuk Seri Rafizi Ramli hanya 13,669, jauh lebih rendah berbanding keseluruhan perwakilan yang layak,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Pemilihan PKR 2025 menyaksikan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli tewas kepada Nurul Izzah yang memperoleh 9,803 undi, berbanding 3,866 undi yang diraih beliau.
Susulan itu, Mohd Faizal menolak dakwaan bahawa jumlah rendah undi disebabkan kelemahan sistem pengundian. Sebaliknya, beliau mendakwa wujud unsur ‘percaturan’ dan protes senyap dalam kalangan ahli parti.
“Individu yang menang jawatan utama didakwa telah ditentukan sejak awal. Sehingga kini, tiada pendedahan transaksi atau proses masa sebenar bagi sistem blockchain yang digunakan.
“Di peringkat cabang, pengumuman keputusan lewat sehingga 20 jam selepas pengundian ditutup. Kelewatan juga berlaku di peringkat pusat,” ujarnya.
Beliau turut memetik kenyataan Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh yang memaklumkan keputusan akan diumumkan tengah hari Sabtu, namun ia hanya diumumkan selepas kelewatan lebih 21 jam.
“Apabila timbul pertikaian, Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) menyatakan keputusan akan diumumkan empat jam selepas pengundian ditutup. Namun, persoalan ke mana hilangnya baki undi masih belum terjawab,” tambahnya.
Menurutnya lagi, percaturan juga boleh dilihat di peringkat cabang apabila berlaku ketidaksepadanan antara ketua cabang dan barisan ahli jawatankuasa (AJK) yang dilantik.
Beliau menyifatkan sistem blockchain yang digunakan oleh JPP PKR sebagai "sistem pelik" dan menambah bahawa kelemahan ini boleh menjejaskan kepercayaan akar umbi terhadap parti.
“Kita lihat tren di media sosial menunjukkan bahawa keyakinan ahli parti semakin goyah. Jika perkara ini tidak ditangani segera, ia boleh membawa padah pada pilihan raya akan datang,” katanya.