SHAH ALAM - Sebanyak 58 orang ahli Parti Amanah Negara (Amanah) dipecat oleh Jawatankuasa Pimpinan (JKP) Amanah Nasional atas kesalahan menyertai pemilihan parti politik lain, hingga 22 Mei 2025.
Setiausaha Agung Amanah, Muhammad Faiz Fadzil berkata, dalam masa sama 51 surat tunjuk sebab telah dikeluarkan kepada ahli yang disyaki terlibat dengan kesalahan sama.
Menurutnya, kegagalan mereka untuk menjawab surat itu juga boleh membawa kepada implikasi pemecatan.
"Amanah mengambil serius laporan dan aduan berhubung tindakan segelintir ahlinya yang mendaftar sebagai ahli parti politik lain serta terlibat dalam pemilihan parti politik berkenaan.
"Perlembagaan Amanah memperuntukkan bahawa tindakan tersebut boleh membawa implikasi tindakan tatatertib termasuk pemecatan keahlian.
"Bagi memastikan pelanggaran disiplin ini dapat ditangani secara teratur, harmoni dan berkesan, sebanyak dua bentuk tindakan telah dilaksanakan iaitu pemecatan keahlian serta-merta atau siasatan lanjut yang bergantung kepada keseriusan pelanggaran," ujarnya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Tambah beliau, Amanah berharap agar tindakan yang dikenakan itu boleh menjadi peringatan tegas kepada semua ahli.
"Oleh itu, semua ahli Amanah diminta supaya mematuhi disiplin berorganisasi dengan berpandukan kepada perlembagaan dan tatacara parti," katanya.