JOHOR BAHRU - Perpecahan dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak akan berlaku sekiranya semua pihak berusaha untuk berdamai selepas pemilihan kepimpinan baharu parti kelak.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halin berkata, berdasarkan pengalamannya dalam musim pemilihan sebelum ini, beliau yakin PKR mampu mengharungi proses tersebut dengan matang tanpa menjejaskan kestabilan parti.
“Perpecahan hanya berlaku jika tiada usaha untuk rekonsiliasi selepas pemilihan. Saya pernah melalui suasana pemilihan yang tegang, runcing dan tajam.
“Tetapi apa yang paling penting adalah bagaimana kita kembali merapatkan saf selepas itu,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) di sini, pada Jumaat.
Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2024/2025 itu tertumpu kepada proses pemilihan kepimpinan baharu parti bagi sesi 2025–2028.
Proses bagi memilih kepimpinan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan AMK Pusat dan Majlis Pimpinan Wanita Pusat itu bermula jam 8 pagi dan berakhir jam 5 petang, melibatkan keseluruhan 32,030 pengundi secara fizikal serta dalam talian.
Tambah beliau, budaya keterbukaan dalam PKR menjadikan pemilihan parti tampak ‘panas’, namun beliau menegaskan bahawa semua calon yang bertanding tetap komited terhadap perjuangan reformasi.
“PKR mengamalkan proses pemilihan yang sangat terbuka, sebab itu wujud pelbagai pandangan. Namun, saya beri jaminan bahawa mereka yang bertanding tetap setia kepada prinsip perjuangan parti.
“Malah, perbezaan pendapat yang timbul itu lahir daripada semangat untuk menunjukkan siapa yang paling setia terhadap idealisme parti,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau turut menepis dakwaan wujud rasa tidak puas hati terhadap ketidakhadiran Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli, pada majlis perasmian serentak Kongres AMK dan Kongres Wanita PKR yang berlangsung malam Khamis.
Jelasnya, majlis yang disempurnakan oleh Setiausaha Agung PKR, Dr. Fuziah Salleh, tetap berjalan lancar seperti yang dirancang.