Rafizi buat kemunculan mengejut, diiringi laungan reformasi

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli membuat kemunculan mengejut pada saat akhir dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR), di sini, sekitar jam 4 petang, pada Jumaat.

Beliau yang juga Menteri Ekonomi hadir bersama penyokongnya bagi menunaikan tanggungjawab sebagai ahli parti.

Kehadiran Rafizi hanya disedari pengamal media selepas beliau disambut dengan laungan reformasi oleh para perwakilan dan juga pengikut setianya yang berada di sana.

Ketika ditanya mengenai kehadirannya yang agak lewat ke pemilihan PKR, beliau berkata, untuk mengundi tidak mengambil masa lama dan hanya beberapa minit sahaja.

"Undi lima minit, bukan ada apa pun. Saya pergi makan dulu selepas solat Jumaat tadi dan siapkan apa patut dulu barulah ke sini. 'So, just nicelah'," ujarnya ringkas.

Dalam pada itu, Rafizi turut mengesahkan bahawa beliau akan hadir ke Majlis Perasmian Kongres Nasional PKR pada malam ini (Jumaat) termasuk kongres yang bakal berlangsung Sabtu.

Tambahnya, tiada sebab untuknya tidak hadir ke kedua-dua acara berkenaan.

"Saya akan hadir malam ni. Esok pun. Awat (kenapa) tak hadir pula?," katanya.