JOHOR BAHRU - Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR yang baharu akan menentukan sama ada tindakan bakal dikenakan terhadap Datuk Seri Rafizi Ramli berhubung tingkah lakunya semasa berkempen bagi jawatan Timbalan Presiden PKR sesi 2025–2028.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Datuk Ahmad Kassim berkata, JPP akan meneliti perkara tersebut sebelum mengemukakannya kepada MPP, dan seterusnya jika perlu, kepada Lembaga Disiplin parti.
"Perkara itu akan kami teliti selepas keputusan dibuat pada hari ini. JPP, selepas selesai urusan pemilihan, akan berbincang dan mengemukakan usul kepada kepimpinan baharu sama ada perlu diambil tindakan atau tidak.
"Namun begitu, aturan selepas ini adalah kami akan meneliti pelanggaran garis panduan tersebut dan sekiranya perlu tindakan, ia akan dibawa kepada MPP.
"Selepas itu, bidang kuasa yang lebih besar terletak pada Lembaga Disiplin," katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan JPP susulan pendedahan Rafizi berhubung ‘cai’ atau pasukan pilihannya dalam pemilihan parti menerusi media sosial.
Katanya, beliau sendiri telah mengeluarkan surat amaran kepada Rafizi secara peribadi selepas senarai ‘cai’ tersebut dimuat naik, dan meminta ia diturunkan kerana menyalahi Garis Panduan Pemilihan 2025 yang ditetapkan JPP.
"Saya sendiri keluarkan surat amaran dalam tempoh 24 jam supaya dia menurunkan senarai ‘cai’ tersebut dalam mana-mana hantaran media sosialnya.
"Surat telah dihantar secara peribadi. Saya tidak suka menggunakan media, dan setakat ini belum menerima apa-apa maklum balas. Cuma, hari ini sudah hari pengundian," katanya pada Jumaat.
Berdasarkan semakan Sinar Harian pada Jumaat, senarai ‘cai’ itu masih terdapat di laman media sosial Rafizi Ramli.
Pada Rabu, Rafizi dilaporkan mengumumkan senarai ‘cai’ pilihannya melibatkan beberapa jawatan penting dalam parti itu.
Bagi perebutan empat slot Naib Presiden, Rafizi menyenaraikan empat nama pilihannya daripada senarai 12 calon yang mengesahkan bertanding.
Mereka ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang; Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Aminuddin Harun; dan Setiausaha Politik kepada Presiden PKR, G. Manivanan.