JOHOR BAHRU - Semua anggota dan perwakilan PKR diseru segera bertaut kembali selepas proses pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) selesai bagi memperkukuh perpaduan dan kekuatan parti.
Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek berkata, fasa akhir pemilihan ini wajar dijadikan titik tolak untuk mempererat hubungan dan mengenepikan kepentingan peribadi demi Keadilan.
“Parti ini perlu dibina bersama kekuatan semua. Semangat kekeluargaan dan ukhuwah mesti mengatasi perbezaan pandangan.
“Setiap kali biduk berlalu, kiambang pasti akan bertaut. Kita berdiri kerana cinta kita kepada Keadilan,” katanya ketika merasmikan Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita PKR 2025, di sini pada malam Khamis.
Turut hadir, Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh; Ketua AMK, Adam Adli Abdul Halim; Ketua Penerangan, Datuk Fahmi Fadzil dan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.
Fadhlina yang juga Menteri Pendidikan turut memetik madah Arab yang menyeru keseimbangan dalam kasih dan benci sebagai panduan dalam menjaga hubungan sesama anggota.
“Jika kamu mencintai seseorang, cintailah secara sederhana kerana satu hari mungkin kamu membencinya. Jika membenci, bencilah secara sederhana kerana mungkin suatu hari kamu akan mencintainya,” katanya.
Dalam ucapannya, beliau turut menyatakan Kongres Nasional tahun ini berlangsung ketika PKR menerajui Kerajaan Perpaduan yang kini memasuki tahun kedua pemerintahan sebagai komponen utama kerajaan MADANI.
“Terima kasih kepada semua anggota yang terus mendukung Ahli Parlimen kita, memastikan kestabilan kerajaan, dan menyokong perjuangan parti.
“Sebagai parti yang berusia 27 tahun, PKR perlu terus menjadi suara rakyat dan melahirkan pimpinan akar umbi yang kuat,” katanya.