SHAH ALAM - Sasaran Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk memenangi 80 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) boleh dikatakan logik, tetapi tidak realistik.
Ketua Operasi firma penyelidikan bebas Ilham Centre, Mohd Azlan Zainal berkata, angka dikeluarkan calon Naib Presiden PKR, Datuk Seri R Ramanan seolah-olah mimpi kerana parti menang di kerusi campuran bukan majoriti orang Melayu.
Menurut beliau, orang Melayu tidak memilih PKR secara keseluruhan melainkan bergantung kepada faktor demografi dan psikografi.
“Tak salah parti sasar 80 kerusi untuk menang, logik itu ada tetapi tiada realistik dan jejak.
"Hakikatnya, orang Melayu tak pilih PKR secara keseluruhan melainkan bergantung kepada demografi serta psikografi," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat,
Beliau berkata, orang bandar dan lebih berpendidikan dikesan bersama tetapi, pada waktu ini golongan terbabit merasa terhukum dengan Kerajaan Perpaduan.
“Pengundi Melayu cenderung kepada UMNO dan Pas. Namun pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), lanskap ini banyak berubah.
"Berlaku ayunan yang ketara dan pola sokongan Melayu berubah kepada Pas, ditambah pula Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) meninggalkan UMNO,” katanya.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, Ramanan mengeluarkan kenyataan sedemikian bukan atas dasar retorik politik semata-mata, sebaliknya fakta memandangkan parti pernah memenangi 50 kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu di bawah pimpinan calon Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.
Ramanan yang juga Timbalan Ketua Penerangan PKR mengingatkan ahli politik agar tidak hanya beretorik tanpa mendengar pandangan orang lain.
Terdahulu, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli menyifatkan dakwaan Ramanan bahawa parti itu berpotensi memenangi sehingga 80 kerusi parlimen pada PRU16 sebagai tidak berpijak di bumi nyata.
Mengulas lanjut, Mohd Azlan berpandangan, strategi meletakkan sasaran 80 kerusi Parlimen untuk dimenangi agak mengejutkan disebabkan pelbagai isu berbangkit timbul.
“Banyak isu ke depan belum reda, ditambah pula wujud signal protes dalam kalangan pengundi Cina terhadap kerajaan berhubung polisi dan ekonomi serta pengundi muda yang belum bersama kerajaan.
“Pastinya ini semua beban, undi Melayu masih terbelah. Jadi, angka ini sebenarnya sedikit mengejutkan, daripada mana datang kerusi yang boleh dimenangi?
“Jika benar ia strategi, maka pasti MIC dahulu pun boleh menang besar dalam Barisan Nasional (BN),” ujarnya.