SHAH ALAM – Exco Pemuda Bersatu (Armada), Na'im Brundage tidak akan menarik balik kenyataan ataupun kandungan video berhubung isu pencerobohan kebun durian haram di Raub meskipun berdepan ancaman kerajaan negeri Pahang.
Na'im berkata, ini kerana dari sudut perundangan, kenyataannya tidak melanggar sebarang undang-undang.
Menurutnya, ia dibuat berdasarkan fakta yang diketahui umum, menyentuh isu yang melibatkan kepentingan awam dan disampaikan secara jujur tanpa sebarang niat jahat.
"Saya ingin menyatakan bahawa saya tetap berpegang kepada kenyataan saya bahawa tiada tindakan menyeluruh telah diambil terhadap pekebun durian haram di Raub yang telah menceroboh kawasan berkenaan sejak lebih empat dekad lalu.
"Tindakan kerajaan negeri cuba menyekat perbincangan terbuka berkenaan isu ini adalah bercanggah dengan prinsip kebebasan bersuara seperti yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.
"Saya tidak akan tunduk kepada sebarang ugutan atau intimidasi seperti ini dan akan terus bersuara sehingga tindakan tegas diambil terhadap semua pencerobohan durian haram di bumi Pahang," katanya dalam sidang media di ibu pejabat Bersatu di Petaling Jaya pada Selasa.
Semalam, kerajaan negeri Pahang dilapor memberikan tempoh sehingga jam 10 pagi hari ini untuk Na’im Brundage memohon maaf dan menarik semula kenyataannya yang dikatakan memfitnah kerajaan negeri dalam menangani isu kebun durian haram Musang King.
Menurut Pengarah Komunikasi Strategik (UKS) negeri Pahang, Khairul Anwar Ahmad Nadzer, video-video yang dimuat naik oleh Na’im jelas berniat untuk memburukkan imej kerajaan negeri memandangkan pihak UKS dan kerajaan negeri telah mengeluarkan penjelasan berkenaan isu ini.
Tambah Na'im, beliau kesal dengan tindakan kerajaan negeri Pahang kerana mengeluarkan tuntutan secara terbuka tanpa sebarang usaha untuk menghubunginya.
Jelasnya, bagaimanapun beliau bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri Pahang bagi menyelesaikan pertelingkahan ini secara baik.
"Sehingga kini tindakan diambil terhadap penceroboh tanah di Raub terlalu sedikit sekitar 68 orang sahaja berbanding 200 pekebun yang mengemukakan semakan kehakiman.
"Saya terbuka untuk berjumpa dengan mereka (kerajaan negeri), mereka tak beri spesifikasi, saya buat empat video mereka suruh turunkan dua. Dua (video) yang mana saya tak tahu.
"Sejak jam 10 pagi tadi mereka (kerajaan negeri) masih belum menghubungi saya atau mana-mana pihak," katanya.