JOHOR BAHRU – Parti Amanah Negara (Amanah) Johor mendesak Barisan Nasional (BN) menyatakan pendirian sama ada Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN16) akan melibatkan pertandingan dua penjuru atau tiga penjuru di negeri ini.
Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Dzulkefly Ahmad berkata, penjelasan itu penting bagi membolehkan Pakatan Harapan (PH) Johor menentukan hala tuju strategik dalam menghadapi PRN akan datang.
Menurutnya, beberapa kenyataan daripada pimpinan UMNO sebelum ini menunjukkan BN tidak bersedia untuk berunding dengan PH Johor, meskipun kedua-dua parti membentuk Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat.
“Kenyataan Naib Pengerusi Amanah Johor, Dr Zuhan Zain sebelum ini adalah untuk menggariskan strategi PH menghadapi PRN16. Ia tidak berkaitan langsung dengan UMNO yang kini menerajui kerajaan negeri Johor,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Menurut beliau, isu sebenar yang dipertikaikan Amanah ialah pembentukan kerajaan negeri yang dilihat tidak mengiktiraf sumbangan rakan-rakan dalam PH Johor, terutamanya dalam soal pelantikan politik.
“Penyokong dan pendukung PH mula bersuara mempertikaikan perkara ini. Jika UMNO dan BN terus mengenepikan peranan PH dalam pembangunan negeri, maka cadangan untuk tidak bersama dalam PRN16 boleh dipertimbangkan,” tegasnya.
Dzulkefly turut mengingatkan UMNO agar berjiwa besar dalam menerima teguran daripada rakan sekutu, bukannya melenting atau memperlekehkan komponen Kerajaan Perpaduan.
“Amanah melihat penglibatan PH dalam kerajaan negeri sangat penting demi kestabilan dan pembangunan Johor. Maka BN perlu nyatakan pendirian secara jelas, sama ada mahu terus bersama atau sebaliknya,” katanya.
Pada PRN Johor 2022, BN meraih kemenangan selesa apabila berjaya memperoleh majoriti lebih dua pertiga.
BN menawan 40 daripada 56 kerusi DUN Johor manakala PH pula menang 11 kerusi DUN, diikuti Perikatan Nasional (PN) tiga manakala PKR dan Muda masing-masing satu kerusi.