PETALING JAYA - Kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak sepatutnya menggunakan media sosial untuk menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap mana-mana individu dalam parti.
Exco Armada Bersatu Malaysia, Na’im Brundage berkata, tindakan sedemikian tidak wajar dan boleh mencetuskan perbalahan dalaman yang sepatutnya dapat dielakkan.
“Bagi saya, kenyataan itu sangat bersifat samar dan tidak jelas. Saya tidak pasti ia ditujukan kepada siapa, tetapi perkara seperti ini seharusnya dibincangkan secara dalaman dan bukan di Facebook.
“Kita tidak mahu jadi seperti parti lawan yang sering bergaduh sesama sendiri di media massa,” katanya dalam sidang akhbar pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, yang mempersoalkan program jelajah Bersatu ke negeri-negeri yang tidak menjemput timbalan presiden dan naib-naib presiden parti.
Malah, Ahli Parlimen Machang itu berkata, Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu juga tidak dimaklumkan mengenai program tersebut.
Na’im yang juga bekas ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, budaya menegur secara terbuka tanpa saluran disiplin yang betul merupakan antara sebab beliau meninggalkan parti itu dahulu.
“Saya sendiri dari PKR. Itu adalah salah satu sebab saya tinggalkan parti tersebut dan saya harap perkara yang sama tidak akan berlaku dalam Bersatu.
“Bagaimanapun, saya percaya Bersatu mempunyai mekanisme tersendiri untuk menangani isu dalaman. Jadi, seeloknya gunakan saluran yang betul untuk memberi pandangan atau maklum balas,” jelasnya.
Untuk makluman, Bersatu telah memulakan misi jelajah ke negeri-negeri yang bakal berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada awal tahun ini.
Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, misi jelajah itu akan menjadi medium untuk parti mendengar taklimat awal berkaitan persiapan PRN yang dijangka diadakan pada bila-bila masa.
Menurutnya, Bersatu juga telah memulakan gerak kerja bagi memantapkan barisan kepimpinan serta penambahan ahli menerusi penubuhan cawangan-cawangan baharu di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM).