SEREMBAN - Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar memberi peringatan tegas bahawa parti itu berisiko untuk ‘hilang’ dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang sekiranya barisan kepimpinannya gagal untuk bersatu dan memperkukuh kerjasama dalaman.
Beliau berkata, tumpuan utama ketika ini ialah merapatkan saf kepimpinan serta memastikan kestabilan kerajaan yang sedang mentadbir.
“Parti yang tidak bersatu dan tidak bersedia menghadapi cabaran mendatang akan menyebabkan kita ‘hilang’ dalam lima ke 10 tahun akan datang.
“Yang saya sedih, kritikan utama saya terhadap sistem pemilihan parti adalah kerana kita sering bertelagah sesama sendiri,” katanya ketika berucap pada program Rapat Umum Akar Umbi sempena Pemilihan PKR di sini, malam Isnin.
Sehubungan itu, beliau menggesa agar PKR kembali mendengar suara akar umbi dan membuat persiapan rapi dari pelbagai aspek dalam tempoh 24 bulan akan datang bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Nurul Izzah turut menyasarkan agar PKR mampu memenangi sekurang-kurangnya 50 kerusi marginal pada PRU akan datang.
“Sasaran kita adalah 50 kerusi marginal. Oleh itu, kerjasama antara kita amat penting kerana saya tidak mahu dalam tempoh lima hingga 10 tahun, kita kehilangan apa yang telah kita capai.
“Bukan untuk diri kita, walaupun bukan semua akan menjadi Yang Berhormat atau menteri, yang penting adalah parti serta perjuangan dan idealisme kita terus hidup,” katanya lagi.
Beliau menegaskan bahawa perjuangan yang dibawa bukanlah untuk kepentingan peribadi, sebaliknya demi kekuatan parti secara keseluruhan.
Nurul Izzah juga mengakui bahawa beliau tidak mungkin memenangi kerusi Parlimen Lembah Pantai sebelum ini sekiranya tidak mendapat sokongan daripada pasukan yang kuat dan tersusun.
“Kita mesti ada keterbukaan, sifat tawaduk dan nilai kemanusiaan. Dalam pertandingan, kita hanya akan menang jika bersatu,” katanya.
Mengulas mengenai kempen pemilihan parti yang semakin hangat, beliau menyatakan keyakinan terhadap sokongan yang diterima daripada rakan-rakan seperjuangan.
“Bagi saya, ini adalah pertandingan dalam kalangan kawan-kawan. Kita perjuangkan semangat kebersamaan. Sudah tentu apa yang kita mahu adalah untuk menggarap kesemua bakat yang ada,” ujarnya.