Janji kepimpinan berprinsip, Manivanan tawar diri tanding Naib Presiden PKR

SHAH ALAM - Bekas Ahli Parlimen Kapar, Manivanan Gowin, mengumumkan hasrat bertanding jawatan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PkR) pada pemilihan parti tahun ini.

Manivanan, yang kini menyandang jawatan Setiausaha Politik kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyifatkan pencalonannya sebagai kesinambungan perjuangan reformasi yang telah beliau dukung sejak hampir dua dekad lalu.

"Slogan saya, 'Berani, Berkhidmat, Berjuang' dan ia bukan sekadar slogan kosong tetapi mewakili prinsip hidup dan perjuangan politik saya sejak mula menyertai PKR," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurut beliau, pengalaman luas di peringkat akar umbi dan pucuk pimpinan menjadikan dirinya calon yang bukan sahaja memahami denyut nadi rakyat, malah bersedia untuk memperjuangkan suara anggota dari segenap pelosok negara.

“Sepanjang lebih 18 tahun dalam PKR, saya pernah menggalas tanggungjawab sebagai Setiausaha Whip parti di Dewan Rakyat dan kini berada di Pejabat Presiden. Saya bukan orang luar, tetapi sebahagian daripada denyut jantung perjuangan ini,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Manivanan menegaskan bahawa beliau menawarkan kepimpinan yang telah diuji oleh masa dan cabaran politik, bukan semata-mata menjanjikan mimpi indah kepada anggota parti.

“Saya tampil bukan sebagai calon yang menjual impian, tetapi sebagai pemimpin yang telah melalui cabaran, diuji, dan tetap istiqamah dalam perjuangan,” ujarnya lagi.

Beliau turut menggariskan tiga komitmen utama sekiranya diberi mandat sebagai Naib Presiden iaitu memperkukuh institusi parti, memperluas jangkauan PKR ke seluruh negara, dan memastikan suara setiap anggota akar umbi didengar serta dihargai.

“Saya merayu kepada seluruh anggota PKR, marilah kita bersama-sama menyemai harapan, memperkukuh saf kepimpinan dan memperkasakan parti demi masa depan Malaysia yang lebih adil, inklusif dan progresif,” tambahnya.

Manivanan kini juga adalah Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR dan Ketua Cabang Jempol.

Pemilihan PKR 2025 dijangka menyaksikan persaingan sengit dalam kalangan pemimpin pelbagai peringkat parti yang berhasrat mengukuhkan saf kepimpinan menjelang Pilihan Raya Umum ke-16.