Sanusi dakwa SOP REE dilengahkan, halang kemajuan negeri SG4

ALOR SETAR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa kelewatan pengeluaran prosedur operasi standard (SOP) perlombongan unsur nadir bumi (REE) oleh kerajaan Persekutuan seolah-olah disengajakan bagi menghalang negeri-negeri di bawah gagasan empat negeri Perikatan Nasional (SG4) daripada lebih maju.

Menurut beliau, negeri-negeri SG4 khususnya Kedah, Kelantan dan Terengganu mempunyai sumber REE yang sangat banyak dan berpotensi besar untuk menjana pendapatan lumayan sekiranya diteroka secara sah.

Namun katanya, beliau kesal kerana sehingga kini SOP bagi mengekstrak galian tersebut masih belum dikeluarkan oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).

“Paling banyak sekali REE ada di SG4. Sebab itu saya agak mereka tak berani keluarkan SOP. Kalau keluarkan SOP (untuk perlombongan), kayalah negeri-negeri SG4, termasuk Kedah. Saya agak begitu.

“Tetapi sehingga kini, SOP untuk melombong REE masih belum dikeluarkan oleh kementerian berkenaan, meskipun sudah berkali-kali sesi libat urus dijalankan,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Muhammad Sanusi berkata, sumber REE merupakan antara pencapaian besar yang dimiliki negeri SG4, namun ia tidak boleh diiktiraf sebagai sumber pendapatan selagi belum diusahasilkan.

Sebelum ini, beliau memaklumkan kerajaan negeri masih menunggu SOP bagi eksplorasi REE kerana tiada dokumen rasmi berkaitan penerokaan industri REE dikeluarkan oleh pihak kementerian setakat ini.

Pada 24 November lalu, Muhammad Sanusi turut mencadangkan agar NRES meminda beberapa dasar sedia ada bagi membolehkan perlombongan REE dapat dijalankan segera.

Menurutnya, kerajaan negeri telah mengusulkan supaya dasar yang menyekat aktiviti perlombongan dalam kawasan hutan simpan dikaji semula, memandangkan kebanyakan sumber REE dikenal pasti berada di kawasan tersebut.

Keadaan itu menyebabkan lesen perlombongan untuk mengekstrak REE tidak dapat dikeluarkan walaupun kebenaran meneroka telah diberikan.

Mengulas dakwaan bahawa pembentukan SG4 tidak memberi impak kepada Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu, Muhammad Sanusi memaklumkan bahawa kerjasama antara negeri-negeri berjalan lancar merangkumi pelbagai sektor utama seperti pelancongan dan pertanian.

“Kita buat kerja dalam senyap, hasilnya cepat. Insya-ALLAH akan ada pengumuman besar nanti, sebab banyak usaha sedang dilaksanakan bersama semua kerajaan negeri SG4,” ujarnya.

Tambahnya, mesyuarat bulanan SG4 sentiasa diadakan dan yang terbaharu berlangsung pada Sabtu lalu di Kuala Lumpur, yang menjadi platform penting untuk menyelaras agenda pembangunan bersama.

“Banyak proses dan hal teknikal perlu diselesaikan terlebih dahulu. Orang bernikah pun sembilan bulan baru dapat anak, apatah lagi nak urus sebuah negeri,” katanya berseloroh.