PM dakwa pihak taasub dengan Najib ada helah tersembunyi

SHAH ALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan sikap taasub segelintir pihak terhadap skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang kini menjalani hukuman penjara.

Memetik laporan Malaysiakini, Ahli Parlimen Tambun itu menegaskan bahawa pendiriannya berkaitan isu rasuah dan 1MDB kekal konsisten.

Perkara itu dinyatakan Anwar ketika menjadi tetamu program 101 East terbitan Al-Jazeera, sambil menyatakan bahawa terdapat berbilion ringgit lagi yang turut 'dicuri' oleh pemimpin lain.

“1MDB adalah satu kes besar yang sedang berjalan. Ia berterusan. Tetapi mereka yang taasub dengan Najib dan 1MDB sahaja, saya tidak berkongsi sentimen itu.

“Jika anda mendengar mereka, seolah-olah satu-satunya masalah di Malaysia ialah Najib dan skandal 1MDB. Saya beritahu anda, ya (Najib) sebahagian daripada skandal itu.

“Tetapi bukan Najib seorang sebagai Perdana Menteri. Ada Perdana Menteri lain sebelum dia, Menteri Kewangan lain sebelum dan selepas dia. Kejar mereka juga! Mengapa lindungi sesetengah orang? Mengapa ada obsesi ini...?” soal Anwar.

Menjawab pertanyaan hos program berkenaan, Mary Ann Jolley, mengenai kenyataan bahawa 1MDB merupakan antara kes kleptokrasi terbesar di dunia setakat ini, Anwar menjawab:

“Itu berdasarkan apa yang anda tahu, Mary,” ujar Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Menurut Menteri Kewangan itu, sebagai Perdana Menteri, beliau menerima banyak maklumat berhubung skandal rasuah negara, dan tidak menafikan bahawa 1MDB merupakan satu skandal kewangan berskala besar.

Namun begitu, katanya, masih banyak lagi penyelewengan kewangan melibatkan jumlah berbilion ringgit yang perlu ditangani.

Dalam program berdurasi 25 minit itu, Anwar turut mempertahankan tindakannya menyerahkan permohonan pengampunan Najib kepada Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan.

Beliau mengakui akan tetap menerima kecaman sama ada keputusan pengampunan itu diterima atau ditolak.

“Anda akan dikecam jika melakukannya, dan anda tetap akan dikecam jika tidak berbuat demikian. Maka, akhirnya, anda hanya perlu melakukan perkara yang betul,” katanya.

Tambah Anwar, beliau sendiri pernah merasai pengalaman dipenjarakan bertahun-tahun di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad dan juga Najib.

Namun jelas beliau, isu ini perlu dilihat secara lebih luas kerana ia mencerminkan suatu ‘penyakit’ sistemik dalam pentadbiran negara.