Rafizi teruskan Jelajah Hiruk ke Sabah esok

KOTA KINABALU - Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli akan meneruskan siri Jelajah Hiruk ke negeri di bawah bayu yang akan berlangsung di Pusat Teknologi dan Komersial Antarabangsa (ITCC), Penampang, pada Sabtu.

Kehadiran Ahli Parlimen Pandan yang dijadualkan bermula jam 2 petang itu adalah sebagai melengkapkan siri jelajah beliau untuk bertemu dengan akar umbi semasa pemilihan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang sedang berlangsung kini.

Timbalan Ketua Penerangan PKR merangkap Ketua Penerangan PKR Sabah, Razeef Rakimin berkata, Timbalan Presiden akan meneruskan siri jelajahnya ke Sabah selepas dilaksanakan di beberapa negeri sebelum ini.

"Setakat ini, negeri lain sudah diadakan jelajah tersebut dan kali ini giliran Sabah sebelum diteruskan ke beberapa negeri lain.

"Jadi, saya menjemput semua anggota parti untuk hadir beramai-ramai ke jelajah ini," katanya kepada Sinar Harian, pada Jumaat.

Siri jelajah sempena pemilihan parti kali ini akan membawa semangat Hidupkan Idealisme Reformasi Dalam Ujian Kuasa (Hiruk), sebuah inisiatif yang digerakkan bagi memastikan PKR kekal berpegang kepada idealisme reformasi, khususnya ketika berada dalam tampuk pemerintahan negara.

Terkini, jawatan Timbalan Presiden PKR yang disandangnya itu turut dicabar oleh bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.