SHAH ALAM - Dua tokoh utama Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar dan Datuk Seri Rafizi Ramli disifatkan sebagai simbol kekuatan dan daya tahan parti apabila terus memperjuangkan agenda reformasi meskipun berdepan cabaran getir termasuk krisis politik ‘Langkah Sheraton’.
Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Negeri Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, pertandingan tersebut berlangsung dalam semangat kekeluargaan yang menonjolkan prinsip reformasi, keterbukaan serta iltizam memperjuangkan rakyat seperti yang dibawa Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya, pertandingan antara kedua-dua pemimpin itu bagi jawatan Timbalan Presiden dalam Pemilihan PKR 2025 dilihat sebagai bukti demokrasi dalaman parti yang kekal subur dan matang.
"Kita tidak berpecah, sebaliknya membuktikan PKR kekal sebagai parti yang subur dengan bakat dan kepimpinan pelapis.
"Nurul Izzah dan Rafizi adalah dua tokoh besar yang berwibawa, beridealisme serta mempunyai rekod perjuangan yang cemerlang.
"Mereka menunjukkan komitmen luar biasa terutama selepas ‘Langkah Sheraton’ ketika ramai yang menyerah, tetapi mereka bangkit untuk terus berjuang," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Mohammad Fahmi yang juga calon Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR 2025 berkata, pemilihan kali ini bukan sahaja berkisar mengenai struktur dalaman parti, malah lebih penting sebagai usaha mengukuhkan mandat dan peranan Perdana Menteri serta kestabilan Kerajaan Perpaduan.
"Proses ini membuktikan PKR mampu bergerak ke hadapan secara demokratik tanpa menjejaskan perpaduan," ujarnya.
Menurut beliau, pertandingan itu juga memberi isyarat jelas kepada rakyat Malaysia terutamanya generasi muda bahawa politik matang dan progresif masih wujud dalam arus perdana.
"Ia menandakan harapan, bukan perpecahan. Ia menonjolkan kekuatan, bukan kelemahan.
"Saya menyeru semua ahli dan penyokong PKR melihat proses ini secara positif. Hormati mandat ahli dan raikan perbezaan pandangan sebagai kekuatan, bukan ancaman.
"Apabila proses ini selesai, kita kembali bersatu sebagai satu pasukan demi rakyat. Menang atau kalah adalah adat pertandingan, tetapi semangat setiakawan, kesetiaan kepada parti dan perjuangan rakyat mesti terus dipelihara," katanya.