Kempen pemilihan PKR bukan medan perpecahan

GEORGE TOWN - Kempen pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) peringkat Pusat bagi penggal 2025-2028 tidak seharusnya menjadi medan perpecahan dalam kalangan anggota, sebaliknya peluang untuk memperkukuh perpaduan parti menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, pendekatan harmoni yang dibawa calon Timbalan Presiden, Nurul Izzah Anwar wajar dijadikan contoh dalam memastikan kestabilan parti terus terpelihara.

Menurutnya, demokrasi dalam parti bukan alasan untuk merobek maruah parti sendiri di khalayak umum.

"Saya percaya, kita semua mempunyai hasrat yang sama. Pemilihan kali ini merupakan medan penting untuk kita memilih kepimpinan yang bakal menerajui parti kita untuk menghadapi PRU akan datang.

"Kita akui parti kita ini, sebuah parti reformasi yang diberi kepercayaan oleh rakyat menerajui negara ini memerlukan nafas baharu dan segar untuk membawa tampuk pemerintahan ke langkah seterusnya yang lebih baik bagi terus menterjemah dasar dan polisi baik untuk rakyat.

"Dalam mencapai hasrat kita yang sama itu, tindakan merendahkan dan merobek kisah dalaman parti sendiri di khalayak umum dan memuji parti lawan dalam kempen pemilihan parti adalah satu langkah tempang yang akan memberi peluru dan nafas baharu kepada pihak lawan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambah beliau, menjadikan demokrasi dalam parti sebagai alasan untuk menghalalkan langkah seperti ini hanya merugikan parti semata-mata.

"Saya percaya langkah tempang ini, walaupun boleh membawa kejayaan untuk memenangi pemilihan parti, ia akan meninggalkan kesan tidak baik kepada parti dalam menuju PRU nanti," katanya.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Pulau Pinang berkata, tempat nombor dua dalam struktur kepimpinan parti harus diisi dengan kedamaian agar dapat membentuk keutuhan parti dalam menuju pilihan raya.

“Dalam waktu yang singkat menuju pilihan raya, nilai damai, sayang-menyayangi, hormat sesama sendiri dan harmoni sangat kita perlukan untuk membina kesepakatan anggota," ujarnya.

Mohamad turut memetik Surah Al-Maidah Ayat 2 sebagai asas kepada pendekatan yang dibawa Nurul Izzah, yang meminta kepada kebajikan dan ketakwaan serta menolak perpecahan.

"Sokongan yang telah dizahirkan sejak awal kepada Nurul Izzah perlu diteruskan dan diterjemahkan dalam bentuk undi pada hari pemilihan demi membina masa depan parti yang lebih kukuh.

“Pendekatan damai yang dibawa oleh Nurul Izzah dalam kempen pemilihan kali ini, tidak menambah luka, tidak mencarik yang ada. Ia seharusnya menjadi alasan anggota perwakilan memberi peluang untuk menobatkan beliau selaku Timbalan Presiden,” katanya.

Beliau turut meminta agar seluruh anggota PKR menjadikan semangat perpaduan sebagai tonggak utama dalam memilih barisan kepimpinan kali ini, selaras dengan semangat reformasi yang menjadi asas penubuhan parti.

Sebelum ini, Nurul Izzah yang juga Naib Presiden PKR mengesahkan akan bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan PKR pada 23 Mei ini.

Jawatan Timbalan Presiden menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Nurul Izzah dan Datuk Seri Rafizi Ramli manakala Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak dicabar bagi jawatan Presiden.

Kongres Nasional PKR termasuk Kongres Angkatan Muda Keadilan dan Kongres Wanita dijadualkan berlangsung dari 22 hingga 24 Mei ini di Johor Bahru dengan 23 Mei ditetapkan sebagai hari pengundian.