KULIM - Tidak ada jalan lain melainkan perlu memenangkan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar sebagai Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang baharu, meskipun beliau adalah anak kepada Presiden parti, tegas Datuk Seri Rafizi Ramli.
Menteri Ekonomi itu berkata, meskipun secara rasmi beliau sedang mempertahankan jawatan tersebut, kekalahan Nurul Izzah boleh mencetuskan naratif atau polemik bahawa anggota parti menolak kepimpinan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Rafizi menjelaskan bahawa beliau menerima hakikat bahawa kemenangan Nurul Izzah merupakan satu-satunya keputusan yang wajar dicapai dalam pemilihan kali ini, walaupun ada kemungkinan sebahagian anggota akar umbi berpandangan sebaliknya.
"Kalau Izzah kalah, apa mesej kepada rakyat? Mesejnya ialah anggota parti sendiri menolak Anwar. Sebab itu Izzah mesti menang. Kalau kalah, kita akan masuk pilihan raya umum dalam keadaan tidak mampu berdepan dengan pembangkang serta polemik politik dari dalam dan luar kerajaan.
"Undilah Nurul Izzah, kerana tidak boleh ada keputusan lain. Apapun pilihan peribadi, keputusan mesti memihak kepada Izzah. Jika tidak, itu bermakna Anwar ditolak," katanya ketika berucap dalam siri Jelajah Hidupkan Idealisme Reformasi Dalam Ujian Rakyat (HIRUK) di Kedah pada Isnin.
Rafizi menambah, meskipun berisiko kehilangan jawatan dan kuasa, beliau lebih mementingkan kesinambungan peranan PKR dalam kerajaan untuk memastikan agenda reformasi dapat diteruskan.
"Itu pendekatan saya kali ini. Tak kisah. Cuma saya tak mahu kita masuk pemilihan ini dan akhirnya kalah besar dalam PRU. Yang di atas itu tak mengapa, tak jadi menteri atau wakil rakyat pun tak apa. Saya kasihan kepada anda semua, anggota dan jentera parti. Bila kempen nanti, anda yang perlu turun dan hadap rakyat setiap malam," katanya.
Menurut Rafizi, sekiranya Nurul Izzah menang, beliau harus disokong kerana tanggungjawab yang bakal digalas amat berat dalam suasana politik yang mencabar.
"Sebagai penyandang Timbalan Presiden, apabila Izzah bertanding, demi kestabilan parti, kita tidak boleh ada keputusan lain selain kemenangan beliau. Sokonglah dan bantulah dia, kerana beban yang ditanggung sangat besar dalam keadaan sekarang," ujarnya.
Pemerhati politik berpandangan bahawa peluang Rafizi untuk mempertahankan jawatannya semakin tipis selepas kebanyakan calon ketua cabang yang disokong beliau tewas, sekali gus boleh menjejaskan sokongan kepada beliau di peringkat pimpinan pusat.
Dalam masa sama, Rafizi turut memberi peringatan bahawa rakyat sedang memerhati, dan gerakan tersusun untuk menaikkan Nurul Izzah ke jawatan nombor dua parti tidak dapat lari daripada persepsi nepotisme.
Mengimbas sejarah politik di Cuba, beliau merujuk tindakan Fidel Castro yang melantik adiknya sendiri, Raul Castro, sebagai sebahagian pentadbiran sebagai contoh klasik nepotisme yang menjejaskan perjuangan revolusi negara itu.
"Fidel Castro semasa hidup dalam buangan di Mexico berkawan dengan Che Guevara, seorang revolusioner. Dalam kumpulan Fidel itu, ada adiknya Raul Castro. Selepas berjaya menumbangkan Jeneral Batista dan menjadi Presiden, Raul dilantik sebagai Menteri Pertahanan dan Che Guevara sebagai Menteri Industri," katanya.
"Tetapi akhirnya, wujud asakan dan persaingan pengaruh – siapa lebih dekat dengan siapa. Kalau tak dapat ke Fidel, orang pergi ke Raul. Kalau Che Guevara berbeza pandangan dengan Fidel, orang bisik pada Raul. Akhirnya, revolusi untuk membebaskan rakyat Cuba dari kemiskinan tidak tercapai sepenuhnya," jelas Rafizi.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa segala tindakan anggota parti, termasuk mereka yang dianggapnya 'lebih sudu daripada kuah', akan dinilai rakyat dan boleh menjejaskan peluang PKR dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16). - Awani