KUALA TERENGGANU - Seramai 6,225 ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) Terengganu iaitu 81 peratus daripada 7,685 pengundi berdaftar telah menunaikan tanggungjawab memilih kepimpinan parti masing-masing dalam sesi pemilihan kali ini.
Setiausaha Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Pusat, Muhammad Naqib Nasaruddin berkata, proses pengundian yang diadakan secara fizikal dan dalam talian itu berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini.
"Alhamdulillah, semua proses berjalan baik mengikut perancangan dan tiada masalah yang timbul sepanjang pemilihan berlangsung," katanya ketika dihubungi di sini pada Jumaat.
Proses pemilihan kepimpinan parti bagi sesi 2025-2028 itu bermula dari jam 8 pagi hingga 5 petang pada Jumaat.
Jelasnya, proses pengundian melibatkan ahli dari tujuh cabang di seluruh Terengganu selepas Cabang Marang tidak mengadakan pemilihan.
Menurut Muhammad Naqib, keputusan rasmi akan diumumkan oleh JPP sebaik sahaja proses semakan dan pengesahan keputusan selesai dilaksanakan.