7,685 ahli PKR Terengganu tunai tanggungjawab pilih kepimpinan parti

KUALA TERENGGANU - Seramai 7,685 ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) di tujuh cabang seluruh Terengganu melaksanakan tanggungjawab memilih kepimpinan baharu parti itu pada Jumaat.

Jumlah berkenaan tidak termasuk cabang Marang yang tidak mengadakan sebarang pemilihan bagi sesi kali ini.

Proses pengundian dijadualkan bermula jam 8 pagi hingga 5 petang melibatkan pengundian dalam talian dan fizikal di tujuh cabang terlibat.

**media[3089888]**

Pemilihan bagi sesi 2025-2028 itu menyaksikan seramai 7,240 ahli PKR Terengganu memilih untuk mengundi secara dalam talian manakala selebihnya seramai 445 memilih untuk mengundi secara fizikal.

Cabang Besut mencatatkan jumlah pengundi tertinggi dengan 2,428 ahli, diikuti Kemaman seramai 1,473 dan Setiu seramai 1,251.

Manakala Dungun pula merekodkan 718 pengundi, Kuala Terengganu (761), Hulu Terengganu (700) dan Kuala Nerus (354).

Bagi memudahkan ahli, tiga pusat pengundian fizikal disediakan iaitu di Manor Beach Resort (Setiu), The Grand Puteri Hotel (Kuala Terengganu) dan Bilik Seminar Kemaman (Kemaman).

Difahamkan, trend pengundian kali ini lebih memihak kepada kaedah secara dalam talian berbanding kehadiran fizikal di pusat undi yang ditetapkan.

**media[3089887]**

Sebelum ini, Pengerusi PKR Terengganu, Ahmad Nazri Mohd Yusof berkata, setakat ini proses pemilihan berjalan lancar dengan kerjasama penuh daripada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP).

Jelas beliau, persaingan dalam pemilihan PKR di Terengganu berlaku secara sihat dengan penyertaan memberangsangkan tanpa wujudnya 'kumpulan' tertentu.

Katanya lagi, pemilihan kali ini juga menjadi titik tolak untuk memastikan PKR terus kekal relevan dan menjadi pilihan rakyat dalam landskap politik negeri.