Orang muda kecewa tidak dapat mengundi secara dalam talian

KOTA BHARU - Pengundi muda pada Pemilihan PKR 2025 Cabang Ketereh lebih memilih untuk mengundi melalui dalam talian kerana dikatakan mudah dan tidak memerlukan lokasi khas.

Bagaimanapun, ramai yang kecewa apabila tidak dapat membuang undi melalui kaedah berkenaan.

Seorang pengundi muda, Ahmad Aniq Amirun Muhamed Sadura, 20, berkata, kemas kini terbaharu melalui aplikasi ADIL 2.0 memerlukan dirinya datang mengundi di sebuah hotel di sini.

**media[3089700]**

"Saya tidak pasti di mana silapnya ketika membuat pendaftaran sehingga kaedah pengundian saya berubah kepada undian secara fizikal," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Ahmad Aniq yang pertama kali mengundi berharap sistem sedia ada dapat ditambah baik bagi membolehkan pengundi membuat persediaan awal.

"Sebagai orang muda, kaedah dalam talian lebih mudah dan menjimatkan masa selain dapat memanfaatkan teknologi terkini," katanya.

**media[3089701]**

Seorang lagi pengundi muda, Mohd Arif Abd Ghani, 26, memberitahu, pemilihan melalui dalam talian lebih cepat dan menjimatkan kos kerana boleh sahaja dilakukan di rumah.

Mohd Arif yang tinggal di Kampung Kayu Rendang di sini bagaimanapun terpaksa datang ke pusat mengundi selepas dimaklumkan perlu menjalankan tanggungjawabnya secara fizikal.

"Saya tiada masalah untuk datang tetapi lebih selesa membuat pilihan tanpa bimbang ramai yang masih menunggu di luar dewan," katanya.

Sementara itu, Ismarudy Ismail, 53, pula berkata, pengundi yang sibuk dengan tugas harian memilih untuk mengundi secara dalam talian pada pemilihan selepas ini.

**media[3089698]**

"Hanya dua kaunter disediakan menyebabkan pengundi terpaksa mengambil masa untuk proses pemilihan," katanya.

Bagaimanapun katanya, mengundi secara fizikal lebih mengujakan kerana dapat melihat calon yang bertanding bersama penyokong masing-masing.

Pemilihan Keadilan PKR 2025 Cabang Ketereh menyaksikan perebutan jawatan Ketua Cabang antara Sukri Husssin dan Rahimi L Muhamad.

Seramai 1,048 dijangka menjalankan tanggungjawab memilih membabitkan 877 secara dalam talian dan 171 melalui fizikal.