KOTA KINABALU - Sebanyak 35 laporan polis telah dibuat berhubung dakwaan fitnah terhadap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, serta kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)–Pakatan Harapan (PH) Plus.
Daripada jumlah itu, lima laporan dibuat oleh Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar, di Balai Polis Karamunsing, Kota Kinabalu pada Khamis, bagi membolehkan tindakan dan siasatan lanjut dijalankan oleh pihak polis.
Menurut beliau, antara lima laporan tersebut termasuk berkaitan satu video rakaman suara yang menyerupai Ketua Menteri dan telah tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.
Katanya lagi, dalam video itu, rakaman suara yang kononnya Hajiji mengesahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar tidak mengambil tindakan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang didakwa terlibat dalam skandal rasuah mineral, selagi GRS bekerjasama dengan PH dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
"Saya yakin suara yang menyerupai itu adalah menggunakan Kecerdasan Buatan (AI), sekarang ini AI boleh digunakan untuk membuat gambar, boleh gunakan AI untuk jadikan video dan sebagainya, apa lagi suara.
"Kita boleh dengar suara Hajiji, ini bukan dia. Tetapi ditularkan jentera parti lain dan orang kampung mungkin boleh percaya," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis tersebut.
Zulkarnain turut berkata, selain video rakaman suara tersebut, empat lagi laporan melibatkan tuduhan terhadap Hajiji, termasuk dakwaan pembelian kondominium bernilai RM8 juta dan pemberian lesen pembalakan kepada kroni.
"Begitu juga berkaitan fitnah terhadap kerajaan GRS-PH mengenai pembelian lapan kenderaan pacuan empat roda yang didakwa melebihi harga pasaran, termasuk nombor pendaftaran SMJ yang didakwa bernilai hampir RM4 juta, juga antara perkara yang dilaporkan untuk diambil tindakan oleh pihak berkuasa," katanya.
Susulan itu, Zulkarnain memaklumkan kesemua 35 laporan polis itu telah dibuat sejak Februari lalu di seluruh negara, membabitkan isu berunsur fitnah terhadap Hajiji dan kerajaan pimpinannya.
"G57 akan terus tampil membuat laporan polis sehingga kesemua penyebar fitnah dihadapkan ke mahkamah untuk diambil tindakan dan kami bercadang untuk membantu menyediakan khidmat guaman secara percuma kepada kerajaan negeri Sabah untuk memfailkan saman sivil ke atas penyebar fitnah tersebut," katanya.
Beliau dalam pada itu tidak menolak kemungkinan dakwaan fitnah yang timbul berkait rapat dengan PRN17 yang berlangsung tahun ini dan mengaitkannya dengan usaha pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan GRS–PH Plus.
"Sejak awal lagi dan ia bukan perkara baharu cuma sekarang saya lihat mereka semakin melipat gandakan fitnah.
"Saya fikir ini adalah penggal terakhir Hajiji dan sudah tentu beliau mahu meninggalkan legasi yang baik untuk negeri Sabah tetapi mereka mahu tumbangkan GRS," katanya.