Cermin diri dulu sebelum tuduh parti orang lain - Akmal Saleh

SHAH ALAM - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh membidas dakwaan bahawa proses pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dikaitkan terpalit budaya UMNO.

Menurut beliau, rasuah tidak bergantung kepada parti, sebaliknya kepada individu.

“Bila diri sendiri yang penuh tahi, tetapi acah-acah baik dan salahkan parti orang lain. Rasuah ini bukan kira parti, ia bergantung kepada individu,” katanya menerusi kenyataan Facebook pada Jumaat.

Beliau juga menegaskan agar pihak yang sering menuduh parti lain melihat diri mereka terlebih dahulu sebelum membuat tuduhan terhadap orang lain.

“Jadi bawa cermin, cermin diri dulu, sebelum tuduh parti orang lain,” ujarnya.

Sebelum ini, bekas Setiausaha PKR Cabang Batu, Yuslaini Azmi mengingatkan parti itu agar tidak membawa budaya UMNO ke dalam PKR.

Ia susulan tular video yang mengaitkan seorang anggota Srikandi PKR Wilayah dengan pemberian wang kepada pengundi dipercayai bertujuan meraih undi semasa proses pemilihan parti.

Video yang kelihatan seperti dirakam secara rahsia itu antaranya memaparkan anggota berkenaan memberi wang dan meminta mengundi pasukan tertentu termasuk dirinya dalam pemilihan PKR pada 19 April.

Wanita itu juga berkata duit raya RM100 akan diberikan sebelum mengundi dan RM100 lagi semasa mengundi.