Pemilihan PKR: Rodziah sangkal tohmahan, seru ahli buat aduan rasmi

SHAH ALAM - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) memberi komitmen untuk meneliti bantahan berkaitan isu pemilihan parti yang dibangkitkan baru-baru ini.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Rodziah Ismail berkata, beliau menghargai kesediaan pimpinan parti mengambil tindakan susulan terhadap aduan yang dikemukakan.

Bagaimanapun meluahkan rasa kesal dengan tindakan sesetengah pihak cuba ‘menangguk di air yang keruh’, termasuk satu akaun media sosial yang didakwa memutar belitkan kenyataan mengenai isu pemilihan.

"Saya ingin maklumkan bahawa pandangan tersebut meleset sama sekali kerana tujuan saya hanya untuk menarik perhatian JPP terhadap apa yang berlaku dalam proses pemilihan di Shah Alam.

"Beliau (pemilik sebuah akaun media sosial) seolah-olah cuba mainkan isu provokasi bagi menambahkan lagi kemarahan anggota kepada parti dan mengandaikan kononnya saya akan keluar parti jika tidak berpuas hati," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Rodziah menegaskan beliau kekal setia bersama PKR meskipun telah melalui pelbagai pengalaman sepanjang 26 tahun dalam parti termasuk pernah menang dan kalah dalam pemilihan peringkat Cabang dan Pusat.

“Saya tetap setia dengan parti kerana hanya individu yang berkepentingan peribadi serta tidak mempunyai prinsip perjuangan sekental Anwar sahaja yang akan meninggalkan parti ini,” ujar beliau.

Beliau turut menyeru ahli parti yang berdepan isu pemilihan agar tampil membuat aduan rasmi kepada JPP supaya siasatan dapat dijalankan secara adil dan telus.

Rodziah menegaskan, PKR kekal menjadi pilihannya dan beliau berpegang teguh kepada prinsip parti itu.

"Biasakan yang betul, betulkan yang biasa. Doakan Allah permudahkan urusan kita dan semua berjalan lancar kerana kebenaran pasti akan ditegakkan,” ujarnya.

Rodziah sebelum ini mempersoalkan keputusan pemilihan Cabang Shah Alam yang berlangsung Sabtu lalu, yang disifatkannya sebagai 'pelik'.

Beliau memaklumkan lewat memberikan kenyataan kerana keputusan pemilihan diumumkan lewat malam, dan pada Subuh Ahad telah berlepas ke Sandakan dan Kota Kinabalu bagi menghadiri beberapa program yang dijadualkan lebih awal.

Sabtu lalu, Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi menang sebagai Ketua Cabang Shah Alam yang baharu selepas mengalahkan Rodziah selaku penyandangnya.

Dalam pertandingan tiga penjuru itu, Mohd Najwan yang juga ADUN Kota Anggerik meraih 1,213 undi, manakala Rodziah yang juga Ahli Parlimen Ampang memperoleh 899 undi dan seorang calon lagi, Noryzal Zainal Abidin, hanya meraih 513 undi.