Srikandi PKR tidak kompromi rasuah, desak siasatan politik wang

SHAH ALAM – Srikandi Parti Keadilan Rakyat (PKR) menegaskan pendirian tegas untuk tidak bertolak ansur terhadap sebarang salah laku melibatkan rasuah atau amalan politik wang dalam parti itu khususnya ketika Pemilihan PKR 2025.

Setiausahanya, Hanani Dhamirah berkata, tindakan tersebut bertentangan dengan prinsip perjuangan PKR yang selama ini lantang menentang korupsi serta salah guna kuasa dalam kalangan pemimpin.

“Srikandi PKR menolak keras amalan rasuah dan politik wang dalam apa jua bentuk serta situasi kerana ia tidak mencerminkan prinsip parti dan nilai utama perjuangan PKR.

“Parti ini sentiasa konsisten dalam menentang barah rasuah sebagaimana yang diperjuangkan Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurut beliau, isu berkenaan telah dibawa kepada perhatian Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) dan Pengerusi Lembaga Disiplin untuk siasatan lanjut.

Dalam masa sama, Srikandi turut menggesa kepimpinan Wanita PKR meneliti dan mempertimbangkan tindakan tatatertib jika siasatan membuktikan wujud unsur salah laku.

“Srikandi PKR akur bahawa kuasa melantik atau memecat jawatankuasa di peringkat negeri adalah di bawah bidang kuasa Wanita PKR,” jelasnya.

Tambahnya, sebarang perbuatan yang boleh mencemarkan imej parti tidak boleh diterima sama sekali dan tindakan wajar mesti diambil bagi memelihara integriti organisasi.

“Kami tidak akan sesekali berkompromi dengan sebarang bentuk salah laku demi memastikan nama baik Srikandi dan PKR terus terpelihara,” tegasnya.

Sebelum ini tular video yang mengaitkan seorang anggota Srikandi PKR Wilayah dengan pemberian wang kepada pengundi dipercayai bertujuan meraih undi semasa proses pemilihan parti.

Video yang kelihatan seperti dirakam secara rahsia itu antaranya memaparkan anggota berkenaan memberi wang dan meminta mengundi pasukan tertentu termasuk dirinya dalam pemilihan PKR pada 19 April.

Wanita itu juga berkata duit raya RM100 akan diberikan sebelum mengundi dan RM100 lagi semasa mengundi.