KOTA KINABALU - Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan bahawa kerajaan negeri yang memerintah ketika ini adalah pihak yang menentukan hala tuju kerajaan.
Hajiji juga mengambil pendirian pandangan daripada Barisan Nasional (BN) yang bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) Sabah, namun dalam masa sama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak menutup pintu rundingan.
"Itu BN punya pandangan. Kita kerajaan negeri pada hari ini, itulah pendirian kita. Tetapi untuk kebaikan negeri dan rakyat, kita tidak boleh menutup pintu rundingan, pintu perbincangan dengan parti-parti yang lain.
"Yang penting ia memberi kebaikan kepada rakyat dan negeri," katanya kepada pemberita selepas selesai menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Khamis.
Hajiji yang juga pengerusi GRS turut menekankan keperluan untuk mengutamakan kestabilan politik demi kemajuan negeri, sambil mengajak semua pihak untuk bersatu padu dalam memastikan masa depan yang lebih baik bagi Sabah.
"Kita harus bersatu padu, kita mesti mempunyai kestabilan politik untuk kebaikan kita semua, itulah harapan saya. Asal memberi kebaikan kepada kita," katanya yang bersetuju pintu rundingan dibuka sehingga menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Bagaimanapun, dalam masa sama, beliau turut mengingatkan bahawa kerajaan sedia ada tidak harus dipandang ringan oleh mana-mana pihak kerana hak menentukan hala tuju terletak di tangan mereka yang berada dalam kerajaan sekarang.
"Tetapi jangan lupa, kadang-kadang ada orang yang cakap, tetapi kita adalah kerajaan pada hari ini. Kita yang akan menentukan hala tuju kerajaan yang ada ini," tegasnya.