PUTRAJAYA - Anggota PKR boleh membuat aduan rasmi kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) sekiranya mempunyai maklumat mengenai salah laku dan rasuah dalam pemilihan parti, kata Pengerusi JPP Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.
Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) berkata, setiap aduan diterima JPP akan diteliti dan diambil tindakan jika perlu.
"Saya kira perkara sebegini (salah laku dan rasuah) tidak seharusnya berlaku, sebab kita mahu dalam pemilihan pada kali ini atau pemilihan pada masa-masa bila pun, adalah untuk memilih pemimpin.
"Jadi seharusnya pemimpin itu kenalah daripada mereka yang ada tatakelola dan integriti baik, dan akhirnya memimpin negara dengan cara yang sebaiknya," katanya kepada media selepas Seminar Modul Pengukuhan Governans, Integriti dan Antirasuah (MPGIA) Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) 2025, di sini pada Khamis.
Dr Zaliha berkata, beliau menyerahkan sebarang aduan yang diterima kepada jawatankuasa aduan dipimpin Timbalan Pengerusi merangkap Ketua Biro Bantahan atau Aduan Datuk Ahmad Kassim untuk mengurus dan menelitinya.
Sebelum ini Ketua Cabang Shah Alam, Rodziah Ismail yang tewas kepada pencabarnya Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Anggerik Najwan Halimi, membangkitkan rasa curiga terhadap keputusan itu dan menyifatkannya sebagai 'pelik'. - Bernama