Pemimpin Pemuda UMNO, PH perlu lebih toleransi - Mahfuz

ALOR SETAR - Pemimpin Pemuda UMNO dan Pakatan Harapan (PH) dinasihatkan agar lebih toleransi antara satu sama lain bagi mengekalkan kesepakatan dalam Kerajaan Perpaduan.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, setiap pihak perlu menghormati perbezaan pandangan namun jangan sampai ia membawa kepada keadaan lebih serius.

Menurutnya, biarpun ia hanya pertikaman lidah antara kepimpinan Pemuda yang menunjukkan keprihatinan dalam isu-isu berbangkit, ia wajar ditangani sebaiknya.

“Saya tak fikir mereka tiada hubungan (baik), mungkin hanya libatkan secara individu antara ketua pemuda dalam perbezaan pendapat. Ia tidak berlaku kepada akar umbi kedua-dua sayap.

“Setiap orang ada pandangan berbeza, jangan sampai perbezaan itu membawa kepada situasi lebih kusut,” katanya kepada media selepas majlis iftar Kelab Media Elit Kedah (KMEK) bersama Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di sini pada Rabu.

Sebelum ini, Ketua Pemuda Amanah, Mohd Hasbie Muda mengakui kurangnya komunikasi dan mesyuarat antara punca utama pemimpin Pemuda UMNO dan PH dilihat sering berbalah sesama sendiri sejak kebelakangan ini.

Menurut Mohd Hasbie, kali terakhir sayap pemuda parti gabungan Kerajaan Perpaduan termasuk BN dan PH bermesyuarat adalah pada pertengahan tahun lalu.

Tambahnya, biarpun wujud ketegangan dan perbalahan antara pemimpin sayap Pemuda, namun PH terutama Amanah tidak pernah mensabotaj calon BN dalam beberapa pilihan raya kecil (PRK) sebelum ini.

Dalam pada itu, Mahfuz mengingatkan kesemua sayap gabungan parti Kerajaan Perpaduan agar mengekalkan kestabilan dalam parti masing-masing untuk kestabilan politik negara.

“Kita telah berjaya mewujudkan kestabilan politik yang telah melonjakkan kepercayaan pelabur kepada negara.

“Jadi kestabilan politik sangat penting, jika tiba-tiba timbul isu-isu yang berkaitan rasis atau sebagainya dan berlarutan, ia boleh menyebabkan pelabur mempersoal kestabilan negara ini,” katanya.