Pas dinasihat tidak buang masa letak calon di DUN Ayer Kuning

ALOR SETAR - Pas dinasihatkan agar tidak membuang masa dengan meletakkan calon bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, pertandingan yang tidak menjamin kemenangan hanya akan merugikan Pas susulan parti itu pernah bertanding di kerusi berkenaan sebanyak lima kali sejak Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) namun semuanya berakhir dengan kekalahan.

Menurutnya, Pas sebaliknya diminta memberi laluan kepada Barisan Nasional (BN) sebagai tanda penghormatan kepada penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin.

“Saya nasihatkan Pas, daripada mereka membuang masa dan menghabiskan wang ringgit, adalah lebih baik mereka tidak letakkan calon untuk beri laluan kepada BN dan sebagai penghargaan kepada Allahyarham (Ishsam Shahruddin),” katanya kepada media selepas majlis iftar Kelab Media Elit Kedah (KMEK) bersama Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di sini pada Rabu.

Mahfuz percaya gabungan undi yang diperoleh BN sebanyak 9,000 undi dan 6,000 undi oleh Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya lalu akan mengukuhkan lagi kedudukan calon daripada Kerajaan Perpaduan.

“Saya percaya Pas tidak ada ruang atau peluang dalam PRK ini berdasarkan jumlah undi milik BN dan PH yang digabungkan,” katanya.

Menurutnya, biarpun kerusi DUN Ayer Kuning sebelum itu pernah ditandingi Amanah, namun parti itu sepakat menyerahkan kerusi berkenaan kepada BN bagi mengekalkan kemenangan sedia ada.

“Bagi Kerajaan Perpaduan, kita kekalkan kerusi itu kepada BN walaupun sebelum itu ditandingi Amanah, kita berikan kepada BN kerana kerusi itu telah dimenangi mereka,” ujarnya.

Mahfuz tegaskan, pertukaran kerusi berkenaan antara UMNO dan Amanah tidak menimbulkan sebarang konflik mahupun dibayangi apa-apa perjanjian, sebaliknya diputuskan secara harmoni.

“Tak timbul apa-apa masalah, selepas ini untuk pilihan raya akan datang kita akan bincang semula agihan kerusi, yang mana perlu tukar dan sebagainya.

“Untuk PRK Ayer Kuning, kita kekalkan kepada parti penyandang, bila tiba PRU16 nanti kita runding, tak ada masalah,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini, tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 12 dan 22 April.

Kekosongan kerusi berkenaan berlaku susulan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin, 59, selepas rebah ketika menyertai perlawanan bola sepak di Pulau Pinang pada 22 Februari lalu.

Pada PRU15, Ishsam mewakili BN menang dengan 2,213 majoriti undi iaitu dengan 9,088 bilangan undi dalam pertembungan lima penjuru, mendahului calon Pakatan Harapan (PH) (6,875), Perikatan Nasional (PN) (6,812), Parti Pejuang Tanahair (105) dan Parti Sosialis Malaysia (586).