SHAH ALAM – Pas Selangor kekal teguh menyokong kepimpinan Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai presiden parti itu, meskipun timbul desakan agar perubahan dilakukan termasuk berkaitan isu kesihatan.
Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ab Halim Tamuri berkata, kepimpinan Abdul Hadi masih relevan, terutama selepas kejayaan beliau menerajui parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023.
Menurutnya, kejayaan Pas bersama Perikatan Nasional (PN) meraih 22 kerusi di Selangor serta memerintah empat negeri, iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis, membuktikan keberkesanan kepimpinan Presiden.
"Di bawah kepimpinan Presiden, Pas bukan sahaja mengukuhkan pengaruh, tetapi juga membawa PN ke tahap lebih tinggi.
"Ini zaman kita menang besar, kenapa perlu berundur?” katanya pada sesi dialog bersama media dan Program Iftar Ramadan di Pejabat Perhubungan Pas Negeri Selangor, di sini, pada Rabu.
Beliau menegaskan bahawa pengalaman Abdul Hadi dalam memimpin Pas menjadi aset penting dalam menghadapi cabaran politik semasa.
"Selagi rakyat dan ahli Pas memerlukan Presiden, kami akan terus mendukung beliau.
"Presiden bukan sekadar pemimpin politik, tetapi juga murabbi (pembimbing rohani) dan simbol perjuangan Islam yang tiada noktah,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menepis kritikan pihak tertentu yang mendakwa faktor usia Abdul Hadi boleh menjejaskan keupayaannya untuk terus aktif dalam politik.
"Soal umur tidak penting, yang utama adalah kepimpinan. Lihatlah sejarah, perjuangan Islam tidak mengenal usia,” tegasnya.
Terdahulu, media melaporkan bahawa Pas masih memerlukan Abdul Hadi mengetuai parti itu, meskipun timbul pandangan mengenai keperluan menggantikannya atas faktor kesihatan serta usaha peremajaan parti.
Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin, turut menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Abdul Hadi dan mahu gandingan beliau bersama Timbalan Presiden, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, dikekalkan menjelang Muktamar Pas di Kedah tahun ini.