Warisan ada kelebihan bertanding solo

SHAH ALAM - Parti Warisan (Warisan) tetap mempunyai kelebihan walaupun memilih untuk bergerak solo berbanding menjalinkan kerjasama dengan parti lain pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kerana sentimen kenegerian.

Penganalisis politik, Mujibu Abd Muis berkata, naratif Sabah for Sabahan yang digunakan parti berkenaan mampu menjadi ‘senjata’ ampuh untuk menarik sokongan pengundi di negeri berkenaan seperti yang berlaku pada PRN 16 pada 2020.

“Mengambil kira situasi semasa dengan sentimen kenegerian yang tinggi dan fakta bahawa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak menunjukkan prestasi yang baik sebagai sebuah gabungan, ini akan memberi peluang buat Warisan.

“Ketika ini, kita juga melihat naratif Sabah for Sabahan kembali menyala dan ini menjadi peluang sekali lagi buat parti itu,” katanya kepada Sinar Harian.Media melaporkan PRN Sabah hujung tahun ini bakal menyaksikan pertembungan lebih banyak penjuru di 73 kerusi DUN selepas Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengesahkan akan bertanding secara solo.

Parti lain yang berpotensi bertanding ialah Gabungan Rakyat Sabah-Pakatan Harapan, Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan calon-calon Bebas.

Mujibu berpandangan, Mohd Shafie yang merupakan Ahli Parlimen Semporna mempunyai pengalaman luas sebagai ahli politik, sekali gus menjadi antara kekuatan Warisan untuk menarik sokongan rakyat.

Katanya, Warisan juga mempunyai pengaruh dan sokongan kuat akar umbi terutamanya di kawasan Pantai Timur Sabah.“Jika sokongan itu kuat dan sentimen negatif GRS ini yang terpalit dengan apa-apa isu rasuah, ketidakmampuan pentadbiran selama lima tahun itu ataupun dalam konteks GRS ini sebagai sebuah pakatan yang tidak mampu untuk menangani pembahagian kerusi secara adil antara mereka, mungkin Warisan boleh eksploitasi isu ini,” ujarnya. Beliau bagaimanapun menyatakan Warisan perlu bekerja lebih keras untuk mengatasi keputusan pada 2020 di mana parti itu memenangi kerusi terbanyak. Dalam perkembangan sama, beliau berpendapat, pengumuman Mohd Shafie mengenai keputusan Warisan untuk bertanding secara solo dilihat lebih kepada satu strategi pilihan raya.

“Jika berlaku situasi tiada mana-mana pihak mempunyai majoriti membentuk kerajaan ada pakatan boleh dibuat selepas itu bagi membolehkan kerajaan negeri dibentuk.

“Saya tidak melihat ia satu kenyataan yang bersifat kekal dan kemungkinan ia bersifat sebagai satu kenyataan sebelum pilihan raya,” ujarnya.