BAGAN DATUK - Barisan Nasional (BN) tidak akan mengemukakan calon di luar daripada senarai calon yang telah disenarai pendek oleh BN Perak bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, calon yang akan dipertimbangkan itu terdiri daripada kepimpinan UMNO Bahagian Tapah.
Menurutnya, calon yang akan dipilih nanti memahami cita rasa pengundi-pengundi di kerusi DUN Ayer Kuning mengikut komposisi kaum di sana selain dapat memberikan kesinambungan perkhidmatan yang diberikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terdahulu.
"Sebagai pengerusi BN dan juga presiden parti, saya akan menghormati senarai yang dikemukakan oleh bahagian dan UMNO negeri.
"Kita tak yakin calon payung terjun dapat membantu Ayer Kuning," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas hadir ke Program Ihya Ramadan Al-Mubarak Tahun 2025 di Dewan Perdana, Kompleks UMNO Bagan Datuk di sini pada Isnin.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, ketika ini BN sudah menyenarai pendek enam calon yang dikemukakan oleh BN Perak itu.
Katanya, calon yang dipilih nanti juga diharap memenuhi kriteria penduduk dan pengundi di DUN Ayer Kuning sekali gus mengulangi kejayaan di beberapa PRK sebelum itu.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa pengumuman calon bagi BN akan dibuat seminggu sebelum tarikh Hari Penamaan Calon yang ditetapkan pada 12 April.
Mengenai gerak kerja jentera di antara BN dan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi PRK tersebut, Ahmad Zahid menjelaskan perbincangan sudah dilakukan.
"Kami telah mengadakan perbincangan tidak formal dalam kalangan kepimpinan BN-PH dan dalam kalangan parti-parti komponen BN juga kita telah mempunyai persefahaman.
"Datuk Seri M Saravanan (Timbalan Presiden MIC) dan pemimpin MCA negeri juga telah menghubungi saya dan saya telah berbincang dengan Jawatankuasa War Room di peringkat nasional mengenai gerak kerja itu," kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) minggu lalu mengumumkan tarikh bagi Penamaan Calon PRK DUN Ayer Kuning akan dilaksanakan pada 12 April depan, diikuti Undi Awal pada 22 April manakala tarikh mengundi ditetapkan pada 26 April membabitkan 31,897 pengundi berdaftar.